SELEPAS kejayaan, konsert By Ajai & Mega Friends di Mega Star Arena, Ogos lalu, komposer prolifik, Ajai atau Mohamad Faizal Maas bakal membawa konsert itu ke Singapura pada 10 Mei depan.
Konsert yang akan berlangsung di The Star Theatre itu bakal menampilkan Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Hazama, Aina Abdul, Asmidar dan penyanyi cilik yang juga anak kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah, Dzahira Talita Zahra.
“Selepas konsert di Kuala Lumpur tempoh hari, kami menerima beberapa undangan menjayakan konsert di Singapura.
“Semestinya saya tidak mahu melepaskan peluang itu dan selepas berbincang secara lanjut dan teliti, saya dan pihak Wake The Baby Record menerima tawaran daripada AA Power selaku penganjur,” katanya pada sidang media konsert By Ajai & Mega Friends yang berlangsung semalam.
Membawakan kelainan, kali ini daripada konsert di Kuala Lumpur, Ajai menampilkan penyanyi lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, Asmidar pada konsert bekenaan.
Menurut Ajai, selepas konsert sulung itu tempoh hari, nama dan lagu nyanyian Asmidar itu kembali menjadi hits dan ramai meninggalkan komen mahu melihat penyanyi itu beraksi.
“Selepas konsert sulung itu, ramai yang tinggalkan komen mahukan Asmidar dan lagu itu juga kembali menjadi hit.
“Sebagai memenuhi permintaan peminat itu, kami bawakan Asmidar pada konsert kali ini,” katanya.
Sementara itu, Ajai menyangkal dakwaan mengundang Thalita disebabkan persembahan kanak-kanak itu acara busking bersama radio Era di Bukit Bintang yang menjadi viral baru-baru ini.
“Saya pilih Thalita bukan sebab dia viral baru-baru ini. Tapi sebelum pilih dia, saya memang sudah buat penilaian yang menyeluruh tentang bakatnya.
“Lagipun arwah Sarah banyak menyanyikan lagu saya sebelum ini. Mungkin konsert ini boleh menjadi platform untuk Thalita kembangkan kerjaya nyanyiannya,” kata Ajai lagi.
Konsert By Ajai & Mega Friends dijangka berlangsung selama dua jam yang menghidangkan semua lagu-lagu hit ciptaan Ajai.
Sebagai kelainan kata Ajai, dia akan menampilkan susunan muzik yang lebih segar hasil kerjasama dengan pengarah muzik Sharon Paul. – WILAYAHKU