Berita

Kerajaan sedia salur peruntukan bagi pelaksanaan Program BeST

- Diterbit 20 Januari 2025 10:52 AM MYT

KERAJAAN bersedia untuk menyalurkan sejumlah peruntukan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin melaksanakan Program Bersih Semua Tempat (BeST) di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, inisiatif tersebut adalah untuk menerapkan budaya persekitaran bersih dalam kehidupan seharian masyarakat di Wilayah Persekutuan sejak dari kecil.

“Kita memang ada peruntukan di peringkat Wilayah Persekutuan sebab itu saya mahu ia dilakukan di peringkat komuniti, sekiranya ada NGO yang berminat untuk bekerjasama dengan kita selaku rakan strategik ada bajet yang akan disediakan.

“Saya mahu program baik seperti ini diteruskan secara berkala dan tidak terhenti di sini sebagai retorik pelancaran sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program BeST secara serentak di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di Pavilion hari ini.

Zaliha berkata program ini juga adalah bukti usaha dalam mewujudkan Wilayah Persekutuan sebagai bandar bersih bagi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Sebagai sebahagian daripada jawatankuasa Kepengerusian ASEAN, bukan sahaja logistik yang perlu dititikberatkan malah dari segi kebersihan, keindahan dan pencahayaan bandar juga kita akan teliti bagi membina imej negara yang positif,” katanya.

Dalam pada itu, Zaliha turut melancarkan Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan sempena Program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang akan disambut pada 1 Februari.

Sebanyak 72,000 bendera Wilayah Persekutuan daripada pelbagai saiz diedarkan pada tahun ini melibatkan ketiga-tiga Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas