SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) giat menyiasat lebih 500 syarikat disyaki terbabit dalam kartel tipuan bida berkaitan tender kerajaan bernilai RM 2.3 billion.
MyCC berjaya menumpaskan beberapa kes kartel dan monopoli bermasalah di pasaran negara tahun lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata antara kejayaan terbesar MyCC melibatkan kes kartel oleh lima pengeluar makanan ayam utama dengan jumlah penalti kewangan sebanyak RM415.5 juta.
“Sejumlah RM1.5 juta penalti kewangan turut dikenakan terhadap 15 syarikat yang terbabit dalam kartel tipuan bida.
“Dalam masa sama, MyCC telah mengeluarkan tiga keputusan cadangan terhadap 92 syarikat lain dan satu keputusan akhir terhadap tujuh syarikat berdasarkan bukti keterlibatan dalam kartel tipuan bida.
“Dalam usaha memperkasa gerak kerja MyCC untuk memecahkan tembok penguasaan kartel, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM27 juta kepada MyCC dalam Belanjawan 2025, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarahnya,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melalui MyCC mengadakan Simposium Undang-Undang Persaingan bertajuk Behind Closed Doors: The Hidden Drivers of Market Distortion”.
Simposium itu bertujuan mendalami isu kritikal terkait persaingan seperti tipuan bida dalam perolehan awam, kenaikan harga makanan, kawalan penggabungan dan dominasi pemain ekonomi digital.
Sebagai badan bebas yang ditubuhkan pada tahun 2011, MyCC terus giat menjalankan kefungsian utamanya untuk melindungi proses persaingan bagi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi dengan menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Anti Persaingan 2010.
Ini termasuk membanteras amalan anti persaingan seperti kartel dan monopoli bermasalah yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.
MyCC juga akan memperkenalkan rejim kawalan penggabungan yang bertujuan untuk mengelak pembentukan awal kartel dan monopoli baharu.
“Dari aspek perundangan pula, MyCC juga sedang dalam proses cadangan untuk melaksanakan pindaan kepada Akta Persaingan 2010.
“Antara cadangan pindaan termasuklah mengenakan penalti yang lebih berat serta pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat,” katanya.-WILAYAHKU