DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif telah mengadakan lawatan di empat lokasi di dalam kawasan parlimen Bandar Tun Razak bagi meninjau keadaan semasa, mendengar penjelasan isu-isu berbangkit dan memperincikan langkah-langkah strategik bagi memenuhi keperluan warga kota.
Dalam hantaran di laman Facebook, DBKL berkata Datuk Bandar bersama Pengarah Eksekutif dan pengurusan kanan bergerak ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, bagi mendapatkan penjelasan berkenaan penyelenggaraan serta pengurusan ruang stadium bagi memastikan ia terus menjadi kebanggaan ibu kota.
“Seterusnya, di Kompleks Renang Kuala Lumpur iaitu lokasi kedua, beliau diberi penerangan mengenai perancangan untuk menaiktaraf fasiliti ini agar lebih mesra pengguna dan bertaraf antarabangsa.
“Lawatan ke lokasi ketiga diteruskan ke Pustaka Digital KL MADANI, perpustakaan moden yang dibangunkan dengan sokongan tanggungjawab sosial Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB),” katanya.
Kata DBKL, Datuk Bandar menyatakan komitmen untuk menambah baik perkhidmatan yang disediakan agar terus relevan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Di lokasi keempat adalah di Pusat Komersil Komuniti Bandar Tun Razak, beliau membincangkan aspek menambahbaik penggunaan ruang kosong dan pengurusan petak parkir untuk manfaat komuniti setempat,” katanya.
DBKL berkata melalui lawatan ini, Datuk Bandar mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan di lapangan dan pada masa yang sama menggerakkan iltizam beliau dan seluruh warga kerja DBKL iaitu tahun 2025 sebagai tahun pelaksanaan terhadap segala perancangan yang telah dipersetujui.
“Ini juga menggambarkan komitmen DBKL untuk menyediakan kemudahan terbaik demi kesejahteraan warga kota.
“DBKL akan terus bergerak maju untuk mencapai aspirasi ini. Teruskan bersama kami dalam menjayakan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang lebih inklusif, mampan dan progresif,” katanya. – WILAYAHKU