KERAJAAN dan mana-mana organisasi perlu menguatkuasakan secara menyeluruh dasar ‘zero tolerance’ atau sifar toleransi terhadap amalan rasuah, salah guna kuasa dan amalan tidak beretika.
Demikian ditegaskan Presiden Pertubuhan Anti Korupsi Malaysia (Pakar), Mohd Nasir Ab Hadi sebagai prasyarat meletakkan Malaysia sebagai negara berintegriti tinggi.
Untuk itu katanya amat penting mendahulukan kepimpinan berintegriti atau ‘tone from the top’ yang berhubung kait dengan perilaku serta tindakan kepimpinan tertinggi dalam mencorakkan budaya dan nilai sesebuah organisasi.
“Pemimpin tertinggi dalam kerajaan dan sektor swasta mesti menunjukkan teladan dalam mengamalkan nilai-nilai integriti dan kejujuran,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Mohd Nasir melangkaui semuanya itu, pendidikan dan pemahaman agama terhadap dosa melakukan amalan rasuah perlu ditingkatkan.
Ia katanya boleh dilaksanakan dengan menyemai nilai-nilai integriti melalui pendidikan termasuk mengukuhkan ajaran agama di sekolah dan institusi pendidikan tinggi.
Katanya dalam konteks Islam, ia dilakukan dengan memupuk nilai amanah, kejujuran dan keadilan seperti diajar dalam Al-Quran dan hadis.
Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada 2023 meningkat empat anak tangga dari kedudukan 61 pada 2022, kepada 57 meliputi 180 negara.
Namun begitu, tiada satu negara Islam berada dalam kedudukan 10 terbaik dalam CPI setakat ini.
Mohd Nasir menambah aspek seterusnya adalah pembangunan dan pemantauan sistem serta proses telus.
“Wujudkan mekanisme pemantauan yang lebih efektif dalam pentadbiran awam dan sektor swasta.
“Perlu dipastikan juga setiap proses pengambilan keputusan adalah telus dan boleh dipertanggungjawabkan,” katanya.
Dalam memastikan Malaysia dipandang tinggi dari aspek integriti katanya kerajaan hendaklah memperkuat undang-undang berkaitan rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta memastikan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan.
Namun jelasnya pemberi maklumat (whistleblowers) yang mendedahkan salah laku sepatutnya dilindungi bagi meningkatkan peranan masyarakat membanteras amalan tidak beretika.
“Kita perlu melibatkan masyarakat dalam program kesedaran mengenai kepentingan integriti dan kesan negatif rasuah.
“Masyarakat kena memainkan peranan aktif dalam menolak amalan tidak berintegriti,” katanya.
Seterusnya, tegas beliau adalah menggalakkan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta, institusi agama dan pihak media dalam menyebarkan inisiatif dalam memerangi rasuah.
“Menyelaras dan menjayakan program berbentuk integriti agar ia selari dengan budaya tempatan.
“Pendekatan menyeluruh ini memerlukan komitmen berterusan semua pihak untuk menjadikan Malaysia negara yang dihormati kerana integritinya,” tambahnya. – WILAYAHKU