Berita

Titah Adendum: Bukit Aman rakam keterangan Khairy Jamaluddin

Foto: Podcast Keluar Sekejap
- Diterbit 13 Januari 2025 5:09 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung dakwaan komplot menyembunyikan Titah Adendum.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dengan rakaman percakapan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, petang ini.

Beliau berkata, dua laporan diterima pihaknya pada Jumaat lalu berhubung isu tersebut.

“Satu kertas siasatan dibuka susulan laporan polis yang diterima daripada Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Setiausaha Politik kepada Azalina, Datuk Suraya Yaacob membuat laporan polis terhadap Khairy di Balai Polis Sentul.

Dakwa Suraya, kenyataan yang dibuat Khairy adalah tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai Kabinet.

Terdahulu Khairy dalam podcast episod 138 ‘Keluar Sekejap’ yang disiarkan pada Khamis lalu mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman penjara pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas