Berita

Tang Jie-EE Wei ke suku akhir Terbuka Malaysia

Foto: BERNAMA
- Diterbit 9 Januari 2025 5:14 PM MYT

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjadi wakil negara pertama mengesahkan tempat ke pusingan suku akhir Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Pasangan di ranking keenam dunia itu hanya memerlukan tempoh 30 minit untuk mengatasi pemain dari Taiwan Ming Che Lu-Hung En-Tzu, dalam aksi straight set 21-8, 21-14 sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2024 dalam kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Tang Jie-Ee Wei menampilkan aksi terbaik apabila mendahului mata 7-1 dalam set pertama seterusnya meraih kemenangan 21-8 dengan ketangkasan masing-masing.

Wakil negara yang turut dikenali dengan gelaran ‘The Little Gangsters’ itu tidak berdepan masalah meneruskan rentak permainan baik untuk menyingkirkan lawan di ranking ke-50 dunia itu dengan kiraan mata 21-14 pad aset kedua.

Tang Jie-Ee Wei akan menentang pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito di pusingan suku akhir esok. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas