JAWATANKUASA Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) telah melaksanakan beberapa reformasi penting sepanjang tahun lalu bagi memperkukuh tatakelola nasional dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dan bebas rasuah.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antara inisiatif utama adalah penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan dan dasar RUU Kebebasan Maklumat, yang telah dipersetujui untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Selain itu katanya, Garis Panduan Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan telah dikuatkuasakan pada 30 April 2024 untuk meningkatkan kebertanggunjawaban dan ketelusan sektor awam.
“Usaha membanteras salah guna kuasa dan penyelewengan dana terus diperkasa melalui pindaan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 dan Akta Pemegang Amanah 1949.
“Pindaan ini telah dibentangkan di mesyuarat JKKTN pada 9 September 2024 dan diluluskan di Parlimen pada 11 Disember 2024 bagi mempertingkatkan tatakelola badan pemegang amanah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
SPRM menambah, penubuhan Pasukan Petugas Khas CPI yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara pada 8 Mei 2024, mencerminkan komitmen kepimpinan tertinggi dalam usaha memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Usaha ini katanya, melibatkan semua kementerian, jabatan dan agensi untuk meningkatkan imej serta persepsi berhubung tatakelola baik dan integriti negara.
Katanya, sejak dilancarkan pada 7 Mei 2024, sebanyak lima daripada 60 substrategi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya dicapai merangkumi iaitu tiga bidang utama iaitu pendidikan, kebertanggungjawaban awam, dan penguatkuasaan.
“Di bawah strategi pendidikan, Modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah (KIAR) telah diperkenalkan sebagai kursus wajib untuk semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
“Modul ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang isu rasuah dan kesan negatifnya kepada masyarakat dan negara,” katanya.
Tambah SPRM, selain itu, Kit Duta Sahsiah yang dilancarkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada 25 November lalu bertujuan memupuk nilai ‘karamah insaniah’ dalam kalangan pelajar.
Jelasnya, selaras dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, minggu tema mengenai etika, nilai-nilai murni, dan antirasuah turut dimasukkan dalam kalendar akademik sekolah bagi mendidik pelajar sejak peringkat awal.
“Fokus turut diberikan kepada pengukuhan integriti penjawat awam melalui pelaksanaan Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) untuk membudayakan tatakelola baik dalam organisasi kerajaan. Langkah ini menekankan penglibatan semua peringkat dalam kementerian, jabatan dan agensi,” kata SPRM.
Katanya, di bawah strategi kebertanggungjawaban awam, kerajaan mengambil langkah tegas dengan memberi penekanan serius terhadap penyelesaian isu-isu berbangkit yang dilaporkan melalui AG Dashboard.
Tambahnya, peranan Unit Audit Dalam (UAD) di kementerian, jabatan Persekutuan dan negeri telah diperkasa melalui pengenalan ‘Garis Panduan Peranan dan Tanggungjawab Pegawai Jabatan Audit Negara Yang Ditempatkan di UAD Kementerian, Jabatan atau Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri’, berkuat kuasa pada 1 Julai lepas.
Katanya, langkah lebih agresif ini diambil untuk mencegah ketirisan serta penyelewengan dana awam, sekali gus memastikan perbelanjaan kerajaan dioptimumkan demi manfaat rakyat.
“Di bawah strategi penguatkuasaan, Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan telah diwartakan pada 17 Oktober 2024. Akta ini mengukuhkan mekanisme penguatkuasaan dengan mewujudkan pendekatan yang terselaras ke arah kawalan sempadan negara yang lebih cekap demi melindungi kepentingan dan keselamatan negara Malaysia.
“Kerajaan kekal komited memperkukuh agenda tatakelola baik negara, meningkatkan integriti dan memerangi rasuah. Semua usaha ini dilaksanakan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berintegriti dan bebas rasuah,” katanya. – WILAYAHKU