MASALAH kebocoran pada bumbung Axiata Arena adalah disebabkan proses penggantian bumbung lama kepada yang baru dibuat pada pertengahan tahun lalu merupakan punca gangguan aksi Badminton Terbuka Malaysia semalam.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Iliyas Jamil, kebocoran yang berlaku disebabkan oleh air hujan yang menitis dan terkena pada gelanggang.
“Justeru, PSM dengan kerjasama kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja segera untuk mengalirkan air ke tempat lain sejak pukul 4.30 petang dan gelanggang boleh digunakan semula pada jam 8.00 malam.
“PSM dan kontraktor telah melaksanakan kerja-kerja yang lebih untuk memastikan masalah ini tidak berulang pada hari-hari berikutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jelasnya, PSM dan kontraktor akan menyediakan lebih 10 orang kakitangan untuk bersedia di bumbung selepas ini sepanjang kejohanan berlangsung bagi memastikan insiden ini tidak berulang.
“Pihak JKR dan kontraktor juga memberi kerjasama untuk membuat kerja-kerja yang bersesuaian dan ianya sedang berjalan. PSM telahpun mengenalpasti kawasan-kawasan yang bermasalah dan menyegerakan kerja-kerja yang perlu dilakukan.
“Pihak PSM juga telah mengadakan mesyuarat dengan pihak JKR Wilayah Persekutuan dan kontraktor pada 30 Disember 2024 yang lalu dan menekankan kepentingan acara tidak terganggu dengan kerja penukaran bumbung ini dan telah diberi keyakinan bahawa pihak kontraktor akan membuat tindakan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, PSM berkata proses penukaran bumbung oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik oleh JKR mengambil masa selama setahun.
“Ia melalui kaedah tidak perlu menutup Axiata Arena bagi penganjuran acara dan sejak pertengahan tahun 2024 sehingga kini, tiada sebarang kebocoran berlaku di kawasan arena,” katanya.
Walaubagaimanapun, PSM memohon maaf kepada semua pihak terutamanya pihak penganjur dan peminat sukan badminton atas insiden kebocoran bumbung yang berlaku di Axiata Arena semalam sehingga mengganggu aksi Badminton Terbuka Malaysia yang terpaksa dihentikan untuk seketika. -WILAYAHKU