“RAKYAT perlu sentiasa proaktif dengan memberi maklum balas tentang apa yang diinginkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam usaha ke arah pembangunan bandar yang mampan,” ujar Pengarah Institut Penyelidikan Kelestarian Alam Sekitar (RISE), Universiti Teknologi Malaysia, Profesor Ts Dr Muhammad Zaly Shah.
Menurut beliau, keinginan yang disuarakan itu haruslah merangkumi perkara yang positif mahupun sebaliknya agar PBT dapat merancang apa yang terbaik untuk penghuni sesebuah bandar.
“Kita juga perlu memberi maklum balas apa yang tidak baik contohnya jika jalan raya berlubang, kita jangan sangka orang tahu sebab masih ada lokasi yang belum dipasang kamera litar tertutup (CCTV) misalnya. Sebagai rakyat yang prihatin dan proaktif, kita perlu maklumkan.
“Semua pihak ada peranan masing-masing bukan hanya terletak pada PBT sahaja. Jika kita boleh seiring dengan PBT, saya percaya, setiap bandaraya yang ada boleh melonjak jadi bandar terbaik di dunia,” ujarnya kepada Wilayahku.
Tambahnya, rakat Malaysia perlu menghargai segala pembangunan yang dikecapi pada hari ini biarpun tidak dinafikan ramai yang masih merasa tidak cukup lagi dengan apa yang terbentang di hadapan mata.
“Kita selalu bandingkan dengan negara luar contohnya Eropah sedangkan ia telah membangun beratus tahun lampau berbanding Malaysia yang baru sahaja merdeka 67 tahun namun pembangunan kita sudah setaraf dengan bandar-bandar megalopolis lain di dunia.
“Contohnya dari segi daya huninya kita muncul bandar yang sangat baik dari segi kedudukan malah, terdapat bandar kita contohnya Putrajaya yang diikitiraf Bandar Pelancong Bersih ASEAN.
“Jadi, kita kenalah faham sebagai rakyat Malaysia di sebalik keinginan untuk menjadi maju kita kena faham sejarah pembangunan negara kita, barulah kita akan tahu cara untuk menghargai,” ujar beliau lagi.
Mengulas lanjut tentang Putrajaya, Muhammad Zaly berkata, pembangunan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu sememangnya sedari awal lagi telah diterapkan dengan elemen kemampanan antaranya dari segi susun atur, penyediaan tempat rekreasi dan jaringan pengangkutan awam yang boleh diambilkira untuk menjadikan ia sebagai satu bandar contoh.
“Sebenarnya bandar Putrajaya ini banyak menyelesaikan masalah contohnya apabila ia dibangunkan, ia menyelesaikan masalah di Kuala Lumpur yang sesak ketika itu dengan tumpuan aktiviti perniagaan, komersial dan sebagainya.
“Menariknya Putrajaya dibina untuk pengangkutan mampan, memudahkan pejalan kaki, penunggang basikal dan kita juga dapat lihat prasarana yang lengkap di Putrajaya menyokong penggunaan pengangkutan awam di mana di Putrajaya Sentral itu sendiri misalnya dihubungkan dengan baik ke semua presint.
“Putrajaya menjadi contoh terbaik untuk pembangunan bandar lain yang mana kita boleh gunakan templat Putrajaya sebagai acuan yang lengkap dan direka bentuk dengan estetika tempatan. Jadi, bagi saya ini adalah antara kejayaan Putrajaya,” ujarnya.
Tambahnya, mungkin apa yang boleh ditambah baik pada masa hadapan adalah dengan menggalakkan lebih lagi konsep park-and-ride yang inovatif ke arah kemampanan alam sekitar.
“Mungkin untuk masa akan datang pihak bertanggungjawab boleh merancang untuk mengurangkan kemasukan kenderaan persendirian pada waktu-waktu tertentu atau menguatkuasakan lebih banyak zon hijau selain menambah fasiliti stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) supaya dapat menggalakkan lebih ramai penduduk membeli kenderaan tersebut di masa hadapan sekaligus ke arah kelestarian alam sekitar,” ujarnya. – WILAYAHKU