PERSATUAN Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) berpandangan pembangunan di Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu ditambah baik dan ditingkatkan agar terus menjadi tumpuan pelancong dan berkelas dunia.
Yang Dipertua PKMM Wilayah Persekutuan, Datuk Amran Mohamad berkata pembangunan Kuala Lumpur menjadi tumpuan memandangkan bandar raya ini merupakan tumpuan pelancong keenam tertinggi di dunia serta mencatatkan bilangan pelancong lebih 13 juta pada 2023.
Beliau berkata inisiatif yang lebih terancang perlu dilaksanakan di Putrajaya memandangkan ia pusat pentadbiran yang menjadi destinasi pelancongan dengan lebih 250 program acara tahunan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Keperluan persekitaran pelancongan dengan pakej-pakej menarik serta menyeronokkan telah ada di Kuala Lumpur serta Putrajaya.
“Penambahan pakej yang ada akan lebih menarik lagi pelancong sedia ada dengan pembangunan kelestarian yang lebih tersusun,” katanya.
Menurut Amran, penambahbaikan amat perlu supaya perkhidmatan pembangunan ini menjadi bandar terhebat berkelas dunia.
Katanya, banyak inisiatif kerajaan mengenai bandar pintar dan hijau telah dilaksanakan dan perlu dinilai oleh pihak bertanggungjawab seperti perancangan dan pembinaan bandar yang tersusun, mengintegrasi alam semula jadi ke dalam perancangan bandar, penggunaan tenaga, penggunaan air serta pelupusan pepejal.
“Penambahbaikan pengurusan trafik yang lebih efisien amat diperlukan di Kuala Lumpur supaya perjalanan trafik lebih lancar pada waktu puncak.
“Usaha itu perlu dilakukan terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti di Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya.
“Perlunya pengurusan yang lebih efisien terhadap perkhidmatan teksi atau kereta sewa dengan mengadakan stesen khas di kawasan strategik dan di kompleks beli-belah bersaiz besar.
“Adalah menarik jika reka bentuk kenderaan dan warna teksi ini sama seperti yang ada Eropah,” katanya.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata penambahbaikan berterusan di Wilayah Persekutuan penting untuk memastikan kesinambungan kejayaan hari ini akan terus dinikmati. – WILAYAHKU
[Iklan]