MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata melabel pendekatan Madani yang menjadi gagasan negara ini secara negatif amat keterlaluan dan mendukacitakan.
Beliau berkata pihaknya turut kesal dengan sikap sesetengah pemimpin politik yang sengaja mencetuskan polemik terhadap konsep dan pendekatan Madani yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Konsep Madani telah diterima secara menyeluruh oleh sarjana Islam sebagai bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
“Konsep Madani juga menekankan pendekatan pembangunan negara yang bersifat syumul (menyeluruh), holistik dan komprehensif dari aspek rohani serta jasmani,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Na’im menasihati umat Islam agar berwaspada dengan usaha pihak yang sengaja menimbulkan polemik pemikiran keagamaan bagi meraih kepentingan tertentu.
“Sempena lembaran baharu 2025, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru semua pihak agar memperkukuh perpaduan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU
[Iklan]