STATISTIK gangguan spektrum autisme atau ASD yang dihidapi oleh kanak-kanak berusia dua tahun ke atas di pulau ini mencatatkan peningkatan yang ketara.
Autisme adalah gangguan pertumbuhan tumbesaran individu dalam jangka masa panjang yang memberi kesan kepada pemikiran kanak-kanak dan dalam proses informasi.
Keadaan tersebut boleh berlaku kepada satu ke dua orang daripada 1,000 kanak-kanak serta terjadi empat kali lebih kerap dalam kalangan kanak-kanak lelaki.
Hingga kini punca autisme belum dapat dikenal pasti sepenuhnya, namun ada pakar berpandangan ia berdasarkan pelbagai faktor, antaranya keturunan atau ketidakseimbangan kimia di dalam otak sebagai penyebab.
Menurut Pengarah Labuan Autism Care Centre (LACC), Shafrry Mohd Sarif, peningkatan terhadap statistik mengenai ASD di Labuan adalah berdasarkan tahap kesedaran ibu bapa yang semakin cakna dan memahami bahawa sindrom tersebut memerlukan pendekatan pembelajaran mengikut kesesuaian.
Katanya, simptom autisme boleh dikenal pasti ketika kanak-kanak berusia tiga tahun kerana pada tempoh tersebut gejala lebih mudah dikesan dari segi kebolehan kanak-kanak tersebut dalam pergaulan dan sebagainya.
“Di Labuan, LACC merupakan satu-satunya pusat penjagaan kanak-kanak yang didiagnosis autisme. Maka dengan itu, kami di sini menerima banyak permohonan daripada ibu bapa yang mahu menempatkan anak mereka untuk mendapatkan pembelajaran yang bersesuaian. Kini kami mempunyai kira-kira seramai 250 pelajar.
“Berdasarkan rekod, setiap minggu kami menerima lebih kurang 10 permohonan bagi pendaftaran kanak-kanak yang menghidapi autisme dan sebelum itu kami akan melaksanakan beberapa ujian saringan untuk mengenal pasti tahap autisme yang dihidapi.
“Bagi saya, peningkatan terhadap autisme di Labuan bukanlah satu perkara yang tidak baik, namun jika kita melihat dari sudut positifnya kita tahu bahawa tahap kesedaran ibu bapa dan masyarakat di sini terhadap mengenai ASD semakin difahami,” katanya.
Shafrry berkata antara kebimbangan yang sering diutarakan oleh ibu bapa adalah mengenai pendidikan anak mereka.
“Di LACC, kami mempraktikkan beberapa modul pembelajaran hasil kajian kami dan ketika ini kesemua modul pembelajaran yang diajar dapat dipelajari dan menunjukkan perkembangan baik.
“Apa yang menjadi matlamat kita adalah memberi didikan yang boleh membantu mereka untuk lebih berdikari dalam menguruskan kehidupan seharian dengan lebih baik.
“Kami menggunakan 52 Modul Pembelajaran secara holistik yang terdiri daripada Modul Pengurusan Diri, Modul Sensory, Modul Kemahiran Literasi Awal (3M) dan Modul Akademik. Selain itu, kami turut melaksanakan Program Tranformasi Autism, Program Autism EIP, Program Autism Smart School dan Program Occupational Therapy (Playgroup), pembelajaran dengan pendekatan teknologi dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang tenaga pengajar, Masliana Simadin menyifatkan sebagai satu cabaran besar kepadanya dalam mendidik kanak-kanak autisme kerana mereka adalah golongan yang unik dengan keperluan yang berbeza-beza serta memerlukan pendekatan pengajaran yang sangat individu dan pelbagai strategi.
Katanya, kanak-kanak autisme mungkin menghadapi kesukaran dalam komunikasi verbal dan non-verbal. Ini boleh menyebabkan cabaran kepadanya dalam memahami keperluan dan perasaan yang mereka mahu sampaikan. – WILAYAHKU
[Iklan]