Berita

2025 sifar jalan berlubang, dua acara berprestij peluang tingkat imej KL

MAIMUNAH (tengah) berazam untuk menjadikan jalan raya di seluruh Kuala Lumpur dalam keadaan yang terbaik sekaligus dapat menerima delegasi antarabangsa sempena Kepengerusian ASEAN dan tahun Melawat Malaysia 2026.
- Diterbit 30 Disember 2024 12:34 PM MYT

DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif mengharapkan tahun 2025 dengan menyasarkan sifar pothole di jalan raya sekitar Kuala Lumpur.

Katanya, dengan dua acara berprestij iaitu Tahun Kepengerusian ASEAN 2025 dan disusuli Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026, pihaknya perlu meningkatkan kemudahan awam itu untuk keselesaan pengguna.

“Saya boleh katakan untuk meletakkan sasaran itu kerana dua acara itu boleh meningkatkan imej negara di persada antarabangsa.

“Justeru itu, DBKL perlu mengambil peluang untuk memperindahkan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur bagi menghadapi dua acara berkenaan,” katanya semasa sidang media selepas Majlis 100 Hari Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Belanjawan DBKL 2025 di ibu negara pada Khamis.

Beliau berkata, menerusi Belanjawan DBKL 2025, pihaknya telah memperuntukkan RM269.3 juta bagi menyelenggara dan membangunkan jalan raya dengan anggaran 2,109 kilometer panjang jalan raya dan 182 cerun yang perlu disenggara oleh DBKL, merangkumi RM187.1 juta di bawah peruntukan mengurus dan RM82.2 juta di bawah peruntukan pembangunan.

“Kita menyediakan sejumlah besar peruntukan ini untuk penyelenggaraan seperti lalu lintas, lampu jalan, pengurusan sistem trafik, sistem lampu isyarat dan penambahan kamera litar tertutup (CCTV).

“Ini juga termasuk dengan apa yang kami sediakan untuk membaik pulih jalan raya dan saya telahpun meletakkan satu tanda aras, untuk buat zero pothole di Kuala Lumpur. Kita cuba sedaya upaya untuk melaksanakannya,” katanya.

Maimunah berkata, pihaknya mesti mempunyai hala tuju khususnya melibatkan penyelenggaraan jalan raya dari aspek pelebaran dan pembesaran jalan dan juga lalu lintas.

“Kami juga ingin meningkatkan lagi pengangkutan awam seperti GoKL dan menyediakan laluan khusus untuk bas.

“Inilah usaha kami dan cuma kami bercadang juga tetapi masih lagi dalam kajian dari segi penyuraian lalu lintas di dalam bandar raya yang akan diumumkan oleh Menteri Pengangkutan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas