Berita

Permohonan pengampunan termasuk tahanan di rumah perlu melalui Lembaga Pengampunan

- Diterbit 28 Disember 2024 6:00 PM MYT

PERMOHONAN pengampunan termasuk menghabiskan baki hukuman penjara di rumah oleh mana-mana banduan termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.

Jabatan Peguam Negara memaklumkan dalam satu kenyataan, permohonan itu perlu dilakukan mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan bukannya mana-mana saluran lain.

“Kamar ini telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.

“Oleh itu sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Najib menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, pemohon berkenaan perkara tersebut hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara, berdasarkan Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labian dan Putrajaya.

Jabatan Peguam Negara berkata Perkara 42 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.

“Dalam hal ini keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas