Berita

Artis wanita Iban Sarawak mengaku ambil hak cipta Baby Shima

- Diterbit 26 Disember 2024 3:39 PM MYT

PENYANYI Baby Shima meluahkan rasa terkilan dan kecewa apabila mendapati seorang artis wanita Iban dari Sarawak, Pretty Nina didakwa telah ‘mencuri’ dan membuat persembahan terbuka secara komersial menggunakan minus one eksklusif yang dicipta khas untuknya.

Menurut Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, penyanyi itu telah beberapa kali membuat persembahan lagu Pantun Janda, Ikan Dalam Kolam, Berkikis Bulu Betis dan Bujang Sarawak menggunakan minus one yang ‘dicuri’ itu.

Tidak mahu memperbesarkan isu tersebut, pihak pengurusan Baby Shima telah menghubungi penyanyi itu dan menyelesaikan isu tersebut dengan cara yang baik.

Namun salah faham timbul dalam kalangan netizen apabila wanita itu tampil pula dalam sebuah video di media sosial, dakwanya tidak akan menyanyikan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh Baby Shima.

“Sebenarnya isu ini sudah selesai. Pihak saya pun sudah menghubungi penyanyi itu dan bukti perbualan kami masih lagi disimpan.

” Dia pun sudah mengaku salah. Isu ini telah pun selesai. Tak ada apa-apa dah yang perlu dibangkitkan.

“Apabila dalam video tersebut dia menyebut tidak membenarkan menyanyikan lagu-lagu tersebut, ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan netizen.

“Sebenarnya saya tak pernah halang dia untuk menyanyikan lagu-lagu tersebut, cuma janganlah membuat persembahan menggunakan minus one saya yang telah ‘dicuri’ itu.

“Mungkin dia tak faham tentang hak cipta, tapi janganlah ‘curi’ minus one dan buat kenyataan yang menimbulkan fitnah terhadap saya. Sedangkan kes ini sudah selesai dengan cara baik. Bukti perbuatan atau perbincangan kami masih saya simpan,” katanya.

Perbualan whatsap antara pihak Baby Shima dengan Pretty Nina

Dalam pada itu, Shima tidak mahu memanjangkan isu ini namun berharap Pretty Nina berhenti menggunakan minus one yang dibuat eksklusif untuknya.

“Isu ‘curi’ minus one saya yang dibuat krew teknikal persembahan itu, saya tak nak ungkit lagi. Memang pihak dia sudah akui kesalahan mereka guna minus one yang dibuat eksklusif untuk saya untuk tujuan komersial.

“Dalam masa yang sama, saya buat banyak persembahan di Sarawak, saya tak tahu pihak mana yang ‘curi’ minus one itu. Perkara dah lepas, mereka dah ambil pun. Cuma janganlah guna lagi untuk tujuan komersial melainkan dengan keizinan pengurusan shima

“Bukan mudah sebenarnya untuk mendapatkan hak menyanyikan lagu-lagu itu. Saya telah minta kebenaran secara rasmi, mengikut prosedur tertentu dan membayar amaun yang ditetapkan. Bukan mudah macam tu saja saya buat minus one itu.

“Tanyalah mana-mana penyanyi, mereka juga ada minus one yang mereka buat khas untuk persembahan. Setidak-tidaknya mintalah kebenaran.

“Saya pun tak minta dia mohon maaf, saya cuma minta jangan lagi buat persembahan menggunakan minus one saya.

” Dalam masa yang sama, saya tidak ada hak nak halang dia nyanyikan lagu-lagu itu dalam versi lain seperti YouTube atau karaoke. Cuma jangan guna minus one saya lagi,” ujarnya.

Difahamkan, minus one itu diperoleh daripada kru teknikal di sebuah acara persembahan tanpa kebenaran.

Pihak terbabit mengaku perkara sebenar (guna minus one milik khas Baby Shima) selepas menerima Surat Tuntutan (LOD) iaitu Notis Tuntutan Pelanggaran Hak Cipta daripada peguam Baby Shima.

Antara kandungan Surat Tuntutan itu adalah meminta pihak penyanyi tersebut tidak menggunakan lagi, menurunkan atau menghapuskan video-video yang mengandungi penggunaan audio trek sandaran atau rakaman tanpa vokal utama yang digunakan dan diperolehi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas