Berita

Perbezaan kaum, budaya resipi kemakmuran negara

- Diterbit 24 Disember 2024 10:07 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan perbezaan kaum dan budaya adalah resipi kemakmuran kepada mana-mana negara yang mendambakan kerukunan serta keamanan.

Tegas beliau, perkara itu adalah atas dasar dan prinsip hidup berdamping (coexixtence).

“Justeru sebarang usaha menanam bibit dan gejala memicu pertentangan kaum mesti dielakkan kerana ternyata kita saling memerlukan serta melengkapi.

“Ini terutamanya dalam usaha membina identiti negara bangsa yang berjaya dan berketerampilan,” katanya dalam ucapan Hari Krismas pada Selasa.

Jelas Perdana Menteri, Malaysia tidak seharusnya gagal dan dilumpuhkan hanya kerana kepentingan beberapa kelompok.

Malah katanya, ia mesti dilonjak nilai dan prinsip keadilan sejagat agar hasrat dan harapan besar tokoh dan pendiri bangsa (the founding fathers) yang mahukan negara ini di baris depan menjulang masa depan dan maruah bangsa disemangati bersama.

Mengenai sambutan Hari Krismas katanya, sebagai negara yang beragam dan rencam ras serta budaya, perayaan-perayaan besar seperti ini terus menjadi sumber kekuatan dan perpaduan di kalangan kaum di Malaysia.

“Acara dan perayaan Krismas tanggal 25 Disember saban tahun kembali menjelang dan menceriakan ramai penganut Kristian di serata dunia dan Malaysia tidak terkecuali.

“Selamat menyambut Hari Krismas kepada seluruh penganut Kristian, dengan titipan agar luangkan masa yang secukupnya bersama yang tersayang di hari besar ini dan hidupkan kecintaan antara insan,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas