KERETAPI Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan perkhidmatan khas tren MySawasdee Edisi Penang dari Stesen Butterworth-Hat Yai-Butterworth yang akan beroperasi sebagai percubaan bermula 29 Disember ini hingga 5 Januari depan.
Jualan tiket boleh dibuat melalui kios tiket atau secara atas talian yang telah bermula sejak 23 Disember lalu pada harga RM 45 sehala.
Perkhidmatan tren terawal bermula jam 7.40 pagi dan tiba di Hat Yai kira-kira jam 12.05 tenga hari waktu Thailand.
Tren akan berhenti di beberapa stesen iaitu Bukit Mertajam, Sungai Petani, Alot Setar, Arau dan Padang Besar, manakala jadual perjalanan pulang dari Hat Yai adalah pada jam 3 petang waktu Thailand dan tiba di Butterworth kira-kira jam 9.46 malam.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan percubaan laluan itu bertujuan menilai permintaan dan sambutan pengguna terhadap perkhidmatan tren khas berkenaan, sebagai perancangan pelaksanaan tren ke beberapa lokasi tumpuan di rangkaian State Railway of Thailand (SRT) pada masa akan datang.
KTMB memaklumkan, pengenalan laluan baharu ini memberi peluang kepada penduduk di utara Semenanjung Malaysia dan pelancong dari Thailand untuk menikmati perjalanan yang selesa tanpa perlu menukar tren.
“Laluan ini dijangka memberi manfaat kepada pelancongan domestik dan antarabangsa, terutamanya dalam menarik lebih ramai pelancong dari Hat Yai ke Pulau Pinang, yang terkenal dengan warisan budaya dan keunikan makanan tempatan.
“Selain itu, laluan ini juga berpotensi meningkatkan sektor pelancongan domestik dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan, dengan manfaat kepada pelbagai perniagaan di kawasan-kawasan yang dilalui oleh tren ini,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KTMB menggalakkan pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS), mesin kios, atau laman sesawang rasmi di www.ktmb.com.my.-WILAYAHKU