MAJLIS Makan Malam Lawatan Sosial Asia Pacific Evergreen Scouts (APES) yang bertempat di Restoran Amber Chinese Muslim, Bangunan LGM, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, berlangsung dengan jayanya malam ini sekali gus membuka tirai Jambori Pengakap Malaysia Ke-14 dan Jambori Keamanan IUMS Ke-8.
Majlis ini diadakan bagi meraikan delegasi APES yang terdiri daripada pemimpin pergerakan pengakap dari rantau Asia-Pasifik.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dan dihadiri oleh Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr. Mohd Zin Bidin dan Presiden APES, Mohammad Khalid Ali.
Majlis makan malam diserikan dengan persembahan kebudayaan yang memaparkan keunikan seni dan warisan Malaysia, selain santapan makan malam.

Selain itu, pada majlis itu turut diadakan pertukaran cenderamata sebagai simbolik kepada hubungan persahabatan yang erat antara negara.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan serantau, malah menjadi platform untuk membincangkan aspirasi bersama dalam memperkasakan pergerakan pengakap sebagai agen perubahan positif untuk pembangunan belia.
Johari dalam ucapan berkata, majlis ini menghimpunkan pemimpin dan ahli pengakap dari seluruh rantau Asia-Pasifik, mencerminkan kekuatan dan perpaduan pergerakan pengakap.
“Rantau Asia-Pasifik menjadi kediaman kepada lebih 35 juta belia dan lebih 220,000 sukarelawan dewasa, menjadikannya pusat kepada pergerakan pengakap global.
“Perhimpunan ini menunjukkan komitmen rantau kita terhadap pembangunan belia dan kepimpinan,” katanya.
Jelasnya, pengakap bukan sekadar aktiviti lasak, tetapi platform melahirkan pemimpin, membentuk watak serta memupuk semangat khidmat masyarakat.
“Malaysia sentiasa mengiktiraf peranan penting pergerakan pengakap dalam pembinaan negara dan pembangunan belia,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Zin berkata, sejarah Pengakap di Malaysia bermula pada tahun 1908, pergerakan pengakap di Malaysia telah memainkan peranan penting dalam membentuk generasi belia yang bertanggungjawab dan berdisiplin.
“PPM terus komited dengan misinya melahirkan pemimpin dan inovator muda,” katanya.
Majlis Makan Malam APES ini tambahnya, menjadi bukti semangat pengakap yang sentiasa hidup dan komitmennya untuk membina masa depan yang lebih cerah buat belia di seluruh dunia.
Jambori Pengakap Malaysia Ke-14 dan Jambori Keamanan IUMS Ke-8 akan berlangsung pada 21 hingga 27 Disember ini bertempat di Kuala Kubu Bharu, Selangor.-WILAYAHKU