BERSEMPENA dengan Bazar Ramadan 2025, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melanjutkan tempoh permohonan sehingga 20 Disember ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai penjaja yang berkelayakan untuk mengambil bahagian.
DBKL dalam satu kenyataan berkata Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Tahun 2025 bakal lebih ceria apabila Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) bersetuju untuk menjalinkan kerjasama strategik bersama pihak DBKL dalam penganjuran Bazar berkenaan.
“Melalui kerjasama yang telah dimeterai pada 11 Disember lalu, bazar berkenaan akan diserikan dengan warna korporat BMMB di semua lokasi bazar melalui sumbangan korporat pembekalan kanopi penjaja serta apron, topi dan kotak pembesar suara kod QR untuk para penjaja yang membuka akaun BMMB.
“Kerjasama strategik ini adalah selari dengan pendekatan 4P (public, people, private partnership) yang diterapkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur TPr (Dr.) Dato’ Seri Maimunah Mohamad Sharif dalam memastikan pengurusan masyarakat secara inklusif,” katanya.
Menurut DBKL, lebih menarik, penjaja yang berjaya mengambil bahagian dalam Bazar akan menikmati pengurangan caj sebanyak RM500 daripada kenaan caj asal keseluruhan.
“Kepada pemohon yang layak, jangan lepaskan tawaran menarik ini untuk bersama-sama memeriahkan suasana sambutan Ramadan dan perayaan Aidilfitri 2025 nanti di samping menjana ekonomi negara,” katanya. – WILAYAHKU