KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) menggesa semua universiti awam (UA) menyediakan satu sistem pelaporan secara elektronik bagi memudahkan pelajar tampil melaporkan kes buli atau keganasan tanpa rasa takut.
KPT memberitahu, buat masa ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah membangunkan Portal elektronik Komen dan Aduan (PEKA).
Menurutnya, portal PEKA UPNM mudah diakses bagi membolehkan pelajar melaporkan sebarang kes buli tanpa rasa bimbang akan kebocoran maklumat pengadu.
“Sistem ini akan memastikan identiti pelapor dilindungi, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelajar tampil melaporkan sebarang bentuk buli,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KPT menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang sama ada pihak kementerian menyediakan sistem pengaduan yang selamat dan mudah diakses bagi pelajar melaporkan kes buli.
Jelas kementerian itu, penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat dan hukuman berat akan dilaksanakan di semua UA sebagai manifestasi keseriusan pihak universiti dalam menangani isu buli.
Katanya, satu jawatankuasa khas di setiap UA juga akan ditubuhkan untuk memantau dan menangani aduan yang berkaitan dengan kes-kes buli.
“Usaha ini diharapkan akan dapat menggalakkan lebih ramai pelajar membuat laporan kepada pihak universiti bagi menoktahkan budaya buli,” katanya.
Selain itu jelasnya, KPT juga bekerjasama dengan pihak UA dalam menjalankan program-program kesedaran dan advokasi mengenai bahaya, implikasi negatif dan cara menangani kes buli.
Ia katanya, turut mengandungi elemen serta galakan kepada pelajar untuk membuat aduan kepada pihak universiti bagi sebarang insiden buli. – WILAYAHKU