Berita

SPRM peroleh perintah larang pihak tertentu akses harta terkait 1MDB AS$340 juta

- Diterbit 12 Disember 2024 4:36 PM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperoleh Perintah Larangan daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi melarang pihak-pihak tertentu berurusan dengan harta-harta melibatkan dana berkait 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah AS$340 juta.

Harta-harta itu berada dalam simpanan UK Court Fund Office, United Kingdom (UK).

Menurut SPRM, perintah tersebut diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada 10 Disember lalu.

Katanya, ini selepas pihak mahkamah berpuas hati dengan bukti dikemukakan pendakwaan yang menunjukkan dana berkenaan mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.

“Perintah ini juga sekali gus turut menghalang Ketua Pegawai Eksekutif Petrosaudi International Ltd (PSI), Tarek Obaid daripada mengakses dana berkenaan,” jelas SPRM dalam kenyataan pada Khamis.

SPRM menambah, Perintah Larangan ini dibuat di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLTFPUAA 2001) berdasarkan permohonan yang difailkan oleh pihak pendakwaan pada 2020.

Sebelum ini pada 13 Mac lalu, SPRM juga turut berjaya mendapatkan Perintah Larangan ke atas 41 barangan kemas di Hong Kong bernilai 9,417,842.60 pound milik Tarek Obaid. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas