SUSULAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2024) diteruskan walaupun beberapa negeri dilanda banjir besar dan kritikal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dituduh zalim dan tidak mempunyai rasa empati.
KPM telah meneruskan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM 2024 di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah seperti yang dijadualkan telah pun bermula.
Malah, ada yang menuduh disebabkan negeri atau kawasan yang terjejas dengan banjir kebanyakannya melibatkan calon SPM daripada kaum Melayu, maka peperiksaan tersebut diteruskan.
Tidak perlu mencetuskan perbalahan kaum kerana Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, membuat keputusan tersebut selepas mengambil kira nasihat daripada pihak keselamatan khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi Monsun Timur Laut (MTL), yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
“KPM sedia melaksanakan peperiksaan dalam situasi banjir berdasarkan kepada prosedur operasi standard (SOP) Ops Payung dan Pelan Tindakan Menghadapi MTL.
“KPM juga bekerjasama dengan agensi seperti NADMA, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk memastikan peperiksaan SPM berjalan lancar,” katanya pada Sidang Media Khas Pengurusan Banjir KPM dan Persiapan Peperiksaan SPM, baru-baru ini.
Fadhlina berkata, seramai 5,377 calon SPM dikenal pasti terjejas akibat banjir di tiga negeri iaitu Kelantan seramai 3,111 calon, Terengganu (1,734 calon) dan Kedah (532 calon).
“Calon di sembilan negeri terjejas banjir digerakkan ke asrama atau pusat peperiksaan alternatif. Ini bagi memastikan mereka dapat keselesaan dan ikut jadual peperikaan ditetapkan.
“Kerja pemindahan dilaksanakan di semua peringkat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN). Ia bagi memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif, selain dapat menjalankan ulang kaji secara lebih tersusun dengan sokongan sudah disiapkan,” katanya.
Isnin lalu, KPM memaklumkan peperiksaan SPM 2024 akan bermula pada 2 Disember hingga 6 Februari 2025.
Memandangkan banjir khususnya di Kelantan semakin buruk, Fadhlina berkata, kementerian itu bersiap siaga sepenuhnya termasuk kemungkinan berlaku situasi luar jangka yang mungkin menyukarkan calon SPM untuk hadir.
Katanya, persediaan itu dibuat berdasarkan SOP Ops Payung.
Selain itu, KPM juga mempunyai Pelan Tindakan Menghadapi MTL dengan pekeliling mengenainya dikeluarkan kepada warga kementerian itu pada 22 Oktober lalu.
Tambahnya tiada gesaan daripada mana-mana pihak bagi menangguhkan peperiksaan tersebut.
“Barangkali apa yang kita akan tingkatkan adalah persiapan luar jangka. Ini merangkumi semua aspek daripada keselamatan, kesiapsiagaan termasuk memberikan khidmat psikososial (kepada pelajar calon SPM terjejas akibat banjir).
“Jika ada perkara yang berlaku di luar jangkaan, kita turut bersedia untuk tambah baik, setakat ini (gerak kerja) diteruskan seperti biasa mengikut pedoman pihak keselamatan yang diberikan dari masa ke masa,” katanya. – WILAYAHKU