KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi memperkasakan industri pelancongan di Labuan mulai tahun depan.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan tersebut bertujuan untuk memacu semula produk pelancongan sedia ada di Labuan.
“Saya berpeluang meninjau salah satu produk pelancongan iaitu Taman Burung Labuan yang berkeluasan 6.9 hektar dan keadaan prasarana taman ini perlu dinaik taraf bagi meningkatkan daya tarikan taman tersebut.
“Oleh itu, saya telah meluluskan peruntukan sejumlah RM1 juta untuk menambah baik industri pelancongan di Labuan termasuklah menyelenggara dan menaik taraf prasarana di Taman Burung Labuan,” katanya kepada pemberita pada lawatan ke Kampung Kilan (Johan Kampung Tradisional Anugerah Aspirasi Desa Madani peringkat Wilayah Persekutuan), hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Syukuran Taib.
Mengulas lanjut, Zaliha memaklumkan pihaknya kini sedang merancang untuk mengadakan penganjuran program khas Borneo Flora Festival yang bakal berlangsung pada Julai 2025.
Katanya, penganjuran program khas itu adalah salah satu usaha pihaknya untuk meningkatkan lagi daya tarikan Labuan.
“Dengan program ini, kita menjangkakan mampu menarik kira-kira 50,000 pengunjung luar ke Labuan dan pada masa yang sama kita mahu produk-produk pelancongan lain dapat ditingkatkan agar menjadi satu tarikan kepada pengunjung.
“Pada 2025, kita akan memberi fokus untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Labuan terutamanya dengan adanya enam program antarabangsa yang akan dianjurkan di sini pada tahun hadapan,” katanya. – WILAYAHKU