SERAMAI 5,712 daripada 29,980 penjawat awam di Putrajaya yang menyertai jerayawara Putrajaya Sihat Sejahtera (PSS) telah disaring dan didapati berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk obes.
Ia meliputi 11 Kementerian di bawah inisiatif Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) WOW bagi data sehingga 24 September tahun ini.
Kementerian Kesihatan (KKM) memberitahu, daripada jumlah yang disaring itu, seramai 1,964 penjawat awam mempunyai berat badan berlebihan dan 1,532 lagi obes.
Menurutnya, mereka ini memerlukan bantuan dari segi intervensi pengurusan berat badan.
“Seramai 1,152 pula dikesan mempunyai tekanan darah tinggi, 732 orang mempunyai kadar gula darah yang tinggi dan seramai 2,036 turut mengalami peningkatan kadar kolesterol dalam darah.
“Seramai 255 orang pula dikesan dan telah dirujuk ke klinik berhenti merokok,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
KKM menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai data terkini kadar obesiti dan kesihatan penjawat awam.
Kementerian itu menambah, seramai 3,967 penjawat awam telah menjalani saringan Minda Sihat melalui aplikasi MySejahtera.
Katanya, hasil saringan tersebut mendapati seramai 187 berisiko mengalami kemurungan dan 90 lagi berisiko berdepan penyakit anxiety.
“Semua pegawai yang berisiko ini dirujuk untuk penilaian dan intervensi lanjut.
“Dalam hal ini KKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan gaya hidup sihat dan persekitaran yang bersih,” katanya.
Jelas KKM, antara inisiatif itu adalah melaksanakan program pengurusan berat badan bagi menangani obesiti.
Katanya, KKM juga akan menggerakkan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi mereformasikan sistem kesihatan negara untuk beralih daripada fokus perawatan kesihatan kepada penjagaan dan kesejahteraan. – WILAYAHKU