Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
DUNIA semakin maju dan kehidupan menjadi lebih moden. Bagaimanapun keadaan sedemikian tidak sahaja membawa kemudahan, tetapi juga ada sisi yang tidak baik pada kehidupan manusia. Hal itu kerana kemodenan tidak datang tanpa sisi lain yang perlu ditangani dan diimbangi antara baik dan buruknya.
Salah satu kesan yang tidak baik daripada kemodenan adalah terhakisnya ruang peribadi kita sebagai manusia yang merdeka. Teknologi memberi kemudahan pada kehidupan, tetapi masa yang sama mengecilkan ruang peribadi yang dinikmati sebelum datangnya kemajuan itu.
Misalnya suatu ketika dulu kamera untuk merakam gambar dan video hanya dimiliki oleh individu tertentu sahaja. Tidak banyak yang memiliki kamera kerana harga yang pada relatifnya mahal dan bukan satu keperluan.
Bagaimanapun dengan meledaknya teknologi telefon pintar yang ciri-ciri utamanya mempunyai kamera resolusi tinggi, kini hampir semua orang memiliki alat rakaman itu. Telefon pintar berubah menjadi ekosistem utama pada media sosial untuk berkongsi momen.
Masa yang sama penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) yang dulunya terhad kini digunakan meluas. Kalau dulu hanya dipasang di ruang tertentu, kini sudah mengawasi di mana-mana terutama di lokasi awam sebagai salah satu langkah mencegah jenayah.
Suatu yang perlu diingat bahawa teknologi tidak selalunya menjadi kawan, adakalanya menjadi musuh seperti telefon pintar dan CCTV yang merampas ruang peribadi yang sepatutnya kita nikmati sebagai manusia yang merdeka. Semua gerak-geri kita seperti diintip – pengguna telefon pintar yang tidak beretika dan pengendali CCTV yang tidak amanah.
Ekosistem media berkembang sangat pesat. Hampir semua orang mempunyai keupayaan merakam apa sahaja dan memuatkan di media sosial tanpa usul periksa.
Pada asasnya telefon pintar berkamera bertujuan meningkatkan kualiti hubungan sosial dalam kalangan masyarakat. Telefon tidak sahaja sebagai alat hubungan melalui suara malah teknologi digital membolehkan audio visual seperti gambar dan video dikongsikan terutama melalui media sosial.
Bagaimanapun tanpa sedar kedua-dua teknologi alat itu mengawasi setiap gerak-geri yang sepatutnya menjadi ruang peribadi. Detik-detik peribadi sudah menjadi tidak selamat kerana kemungkinan dirakam CCTV atau pengguna telefon pintar oleh individu yang ‘tidak pintar.’
Semua dalam kalangan kita terdedah pada rakaman sama ada secara sengaja atau sebaliknya. Malah rakaman itu pula dengan mudah bertebaran dengan adanya media sosial yang menghubungkan manusia di seluruh pelosok dunia. Bahkan bukan suatu yang asing rakaman CCTV yang sepatutnya sulit boleh menjadi bahan tontonan di media sosial.
Padahal video atau gambar yang dirakamkan tanpa pengetahuan adalah satu bentuk pencerobohan ruang peribadi. Tetapi hal itu seolah-olah sudah menjadi perkara biasa apabila sebahagian besar dalam kalangan masyarakat mempunyai telefon pintar. Masa yang sama, begitu banyak CCTV dipasang di dalam dan luar bangunan malah di jalan-jalan raya.
Memang benar pemasangan CCTV bertujuan baik terutama untuk memantau berlakunya kegiatan jenayah. Malah menjadi antara pendekatan yang berkesan untuk meningkatkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
Bagaimanapun sebagai manusia yang merdeka, pemantauan pada setiap gerak-geri itu adalah satu bentuk penghakisan ruang peribadi. Hal itu pernah diangkat oleh pengarah Peter Weir menerusi filem The Truman Show (1998) yang menceritakan mengenai seorang individu yang hilang ruang peribadi dalam hidupnya.
The Truman Show memperlihatkan betapa terhakisnya ruang peribadi individu akibat kemajuan teknologi yang digunakan dengan sewenang-wenang dan tanpa etika. Itulah yang dilalui oleh seorang lelaki, Truman Burbank yang setiap detik hidupnya dipantau oleh 5,000 kamera dalam sebuah rumah.
Dia sudah tidak ada ruang peribadi kerana semua gerak-gerinya dalam setiap bilik di rumah itu disaksikan oleh umum.
Ketika filem itu diterbit dan ditayangkan belum ada lagi telefon pintar. Walaupun sudah ada CCTV tetapi tidak secanggih sekarang malah tidak digunakan secara meluas di semua tempat awam. Maka isu ruang peribadi diceroboh dengan pemantauan CCTV tidak lebih sebuah idea futuristik – tidak tergambar akan realitinya.
Tetapi siapa menyangka dua dekad kemudian, kita senasib dengan Truman Burbank yang ruang peribadi diceroboh atau menunggu masa untuk dilakukan demikian oleh teknologi. Tambahan pula dengan menggelegaknya media sosial – Facebook, TikTok, Instagram dan beberapa yang lain.
Sekarang ini kehidupan kita dipantau oleh telefon pintar untuk dijadikan isi kandungan di media sosial dan banyaknya CCTV. Dengan teknologi kamera resolusi tinggi, hanya masa yang menentukan bila pula kita dimangsakan seperti Truman Burbank.
Atas alasan keselamatan, hidup kita dipantau CCTV. Malah ada yang memasang di segenap sudut di dalam kediaman atau pejabat atas alasan keselamatan.
Memang CCTV bertujuan kebaikan, tetapi pada sisi lain misalnya kaum wanita khususnya sudah tidak bebas lagi membetulkan baju, kain atau seluar di tempat tersorok atau jauh dari pandangan umum. Di situ mungkin ada kamera dan manusia di sebalik kamera tersembunyi sentiasa memerhati gerak-geri mereka.
Hal seperti itulah membuat ruang peribadi kita semakin kecil dan mungkin hilang. Rakaman yang sebenarnya sulit dan sangat peribadi itu tidak dijamin kerahsiaannya. Sebabnya wujud sifat kurang amanah kepada sesetengah pihak. Maka disebabkan nipisnya sifat amanah, potensi untuk rakaman itu terlepas kemudian dimuat naik di media sosial adalah besar.
Bagaimana seksanya Truman Burbank, begitu juga kita pada era yang sangat kritikal kerana kemajuan teknologi yang tidak dipimpin oleh pengguna yang beretika. Banyak ruang peribadi terdedah pada eksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Pemilik akaun media sosial yang tidak bertanggungjawab akan mendedahkan perkara peribadi orang lain kepada umum. Inilah program televisyen realiti ala ‘Truman Show’ yang menjadikan sesetengah dalam kalangan kita sebagai pelakon sekali gus mangsa.
Peter Weir sudah memberikan isyarat awal tentang wujudnya satu keadaan di mana atas nama kemajuan, kita tidak dapat mengelak daripada menjadi mangsa teknologi. Kini sudah jelas bahawa kita sudah tidak mempunyai ruang yang benar-benar peribadi – kalau orang tidak melanggar sempadan itu, kita sendiri yang melakukan apabila semua hal hendak diberitahu kepada dunia.
Setiap artikel penulis adalah pendapat peribadi, bukan pendirian Wilayahku.