Berita

Hoi Hoi Ya Hoi tidak makan diri

- Diterbit 2 Disember 2024 4:00 PM MYT

DARIPADA anak seni dan kini bergelar Yang Berhormat (YB), Altimet atau nama sebenarnya SYED AHMAD SYED ABDUL RAHMAN semakin mangli atau kalis dengan sepak terajang dunia politik.

Biarpun digasak pelbagai sindiran mahupun kritikan, terutama dipermainkan pihak lawan susulan lagu Hoi Hoi Ya Hoi nyanyiannya semasa kempen pilihan raya sebelum ini, itu semua tidak meninggalkan kudis pada dirinya.

Malah beliau terus menumpukan usaha memperbaiki taraf hidup rakyat selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, khususnya golongan belia.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, YB Altimet menegaskan mahu kerja kuat demi mewujudkan Malaysia dan Selangor yang lebih baik untuk anak-anak masa depan.

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, beliau menang kerusi DUN Lembah Jaya dengan majoriti 6,678 undi. Beliau menjadi selebriti kedua bergelar wakil rakyat selepas pelakon, Dira Abu Zahar di DUN Rim, Melaka.

 

Apakah cabaran YB selaku wakil rakyat? Atau memang YB sudah terbiasa dengan kerja-kerja mendepani isu-isu rakyat sebelum ini?

Antara cabaran yang ketara bagi saya apabila menggalas tugas wakil rakyat ialah cara kita bekerja. Selepas menjadi wakil rakyat di negeri yang majmuk, pesat dan membangun ini, ia melibatkan lebih banyak mesyuarat untuk saya hadiri, pelbagai urusan surat-menyurat dalam segala perkara selain protokol tertentu, semuanya demi membangunkan lagi Selangor dengan lebih baik.

Kalau satu masa dulu saya merasakan cara bekerja ini melambatkan peta laluan objektif, namun sekarang saya melihat keperluannya terutama dalam kerangka tatakelola pentadbiran.

 

Apabila menyebut nama Altimet, orang dalam lapangan politik mengaitkan YB dengan lagu Hoi Hoi Ya Hoi. Kalau di pihak pembangkang, mereka mengatakan lagu itu ‘makan diri’ YB. Apa pandangan YB mengenai perkara itu?

Lagu-lagu dalam genre hip hop secara umumnya menceritakan apa sahaja yang dilihat oleh penulis. Lagu tersebut ditujukan kepada mereka yang melakukan dan menyokong amalan jijiknya rasuah serta penyelewengan.

Untuk itu saya yakin, saya bukan tergolong dalam kelompok sebegini.

Oleh yang demikian, pada hemat saya, ia tidaklah ‘makan diri’ saya sendiri seperti diperkata ramai.

 

Apa isu yang diperjuang YB ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)? Atau apa isu yang menjadi keutamaan YB, bukan sahaja untuk kesejahteraan penduduk di Lembah Jaya sebaliknya seluruh Selangor?

Ketika di persidangan DUN, yang terbaru ini saya membawa isu berkenaan masyarakat menua. Tambahan pula Malaysia sudah diramal menjadi negara tua menjelang 2030. Kita perlu bertindak sekarang.

Selain itu isu-isu menangani dan memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi fokus utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membawa negara ini ke era negara maju.

Namun di sebalik segalanya ini, paling utama, saya ketengahkan cabaran-cabaran atau isu melibatkan peluang pekerjaan yang berterusan dihadapi golongan belia, anak muda yang menjadi aset utama kita.

 

Apabila sudah bergelar wakil rakyat, bagaimana karier dalam dunia hiburan? Seimbang atau sebaliknya?

Kalau menyentuh mengenai karier seni, sebenarnya saya sudah berhenti menghiburkan orang ramai sejak lima tahun lepas.

Anak muda aset negara. Apa yang YB lakukan, khususnya di DUN Lembah Jaya, membangunkan anak muda, dari aspek keusahawanan, pendidikan mahupun isu-isu sahsiah diri?

Anak muda atau belia sudah tentu menjadi fokus utama saya. Sebagai contoh, untuk usahawan muda, kita ada program bimbingan bagi mereka yang berminat dalam pinjaman mikro di bawah program Hijrah Selangor. Kami juga ada perancangan menganjurkan kursus keusahawanan asas bagi yang berminat. Ada juga rancangan dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk mewujudkan Anugerah Sahsiah bagi pelajar yang akan meninggalkan alam persekolahan. Saya percaya sahsiah dan adab merupakan ‘soft skill’ atau kemahiran insaniah yang akan banyak menolong belia di alam pekerjaan nanti.

 

Sudah selesai atau ‘semakin selesakah’ penduduk di DUN Lembah Jaya dengan isu-isu air, banjir kilat, isu pengangkutan awam, kesesakan, yang YB hendak perjuangkan sebelum ini?

Saya rasa makin baik, baru setahun jagung saya berkhidmat. Seperti kawasan lain, ada isu-isu yang mengambil masa lama untuk menjadi cabaran yang kian rumit. Jadi ia memakan masa untuk ditangani.

Ada juga beberapa isu yang berkait dengan pembinaan skala Persekutuan seperti Lebuh Raya Lembah Klang Timur (EKVE). Isu-isu ini hanya boleh dimulakan kerjanya setelah projek tersebut siap.

 

YB dan Selangor FC serta Faisal Halim. Apa pandangan YB mengenai pasukan tersebut dan pemain bola sepak negara itu dan isu-isu yang membelenggu sebelum ini?

Secara peribadi, inilah (Selangor FC) pasukan terunggul sepanjang zaman dan boleh mengalahkan semua pasukan lain di dunia ini.

Mengenai isu-isu yang ada (yang terkait dengan pasukan dan pemain), tidak perlu ia dijadikan sebab memecahbelahkan sesuatu yang telah terbukti menyatukan.

 

Apa pandangan YB terhadap pertikaian sesuatu isu yang berlaku membabitkan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan?

Dalam pengalaman saya di industri kreatif, keusahawanan dan hiburan, apa sahaja yang kita lakukan boleh dan akan dipertikaikan. Salah faham, diskusi dan pertukaran idea juga lumrah apabila bekerja dalam pasukan, apatah lagi bila bersaiz besar, termasuk dalam dunia politik dan kepartian.

Saya yakin semua wakil rakyat, ada 222 orang di Dewan Rakyat, khususnya 56 orang di DUN Selangor, mereka juga mahu yang terbaik untuk Persekutuan dan negeri. Bukan sesuatu yang menghairankan, bila takrif apa yang terbaik itu berbeza, apatah lagi dalam satu kumpulan majmuk yang kita kenal sebagai Malaysia ini.

 

Berbalik kepada isu hiburan, pada pandangan YB, industri seni tanah air boleh berkembang lebih maju, dengan syarat?

Industri hiburan akan berkembang, dengan apa syarat yang wujud atau tidak. Ia lahir daripada pendekatan insan-insan kreatif dan permintaan penggemar hiburan.

 

Apa misi dan visi YB sebenarnya dalam politik? Apa yang YB hendak lihat dalam tempoh lima hingga 10 tahun mendatang?

Misi saya secara amnya ialah bertekad untuk mewujudkan Malaysia dan Selangor yang lebih baik untuk anak cucu saya, untuk masa depan anak muda.

Secara khusus di Lembah Jaya ialah untuk menjadikan kawasan ini menerajui Selangor dari segi kualiti hidup untuk segala lapisan masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas