Berita

Lima panel pemantau bebas SPRM terima watikah pelantikan

AHMAD Khusairi Yahaya (lima dari kiri) bersama barisan Ahli Jawatankuasa Aduan bagi sesi 2024-2027.
- Diterbit 2 Disember 2024 2:55 PM MYT

SERAMAI lima Ahli Jawatankuasa Aduan (JKA) menerima surat watikah pelantikan secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga 2027.

Menurut SPRM, watikah pelantikan yang berkuatkuasa mulai hari ini disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dalam majlis diadakan di Ibu Pejabat SPRM.

Jelasnya, pelantikan ini adalah selari dengan peruntukan mengikut Seksyen 15 Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan berfungsi bagi memantau pengendalian SPRM membabitkan aduan salah laku pegawai di suruhanjaya ini yang tidak bersifat jenayah.

“Mereka yang dilantik ini terdiri daripada golongan profesional dalam pelbagai bidang dan ia merupakan satu penghormatan serta pengiktirafan terhadap kebolehan, kepakaran selain integriti yang dimiliki,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

SPRM memberitahu, tiga ahli lama JKA telah dilantik semula iaitu Datuk Dr. Ruziati Mior Ahamad Ariffin sebagai Pengerusi JKA yang baharu menggantikan Datuk Dr. Asariah Mior Shaharuddin selain Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Adrain Jerome Karuna Devan.

Katanya, dua lagi merupakan ahli baharu iaitu Datuk Mohd Rabin Basir dan Datuk Dr. Alauddin Sidal.

Sehubungan itu, SPRM mengucapkan tahniah kepada semua ahli yang dilantik selain merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas persetujuan bagi pelantikan mereka.

“SPRM berharap pelantikan itu mampu memperkasa serta memantapkan jawatankuasa berkenaan dalam melaksanakan fungsinya seterusnya membantu suruhanjaya ini dalam penambahbaikan sistem dan prosedur kerja,” katanya.

JKA merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO).

Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Aduan bagi sesi 2024-2027 adalah Datuk Dr. Ruziati Mior Ahamad Ariffin selaku Pengerusi; Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Adrain Jerome Karuna Devan; Datuk Mohd Rabin Basir dan Datuk Dr. Alauddin Sidal.

SPRM adalah agensi penguatkuasaan pertama di Malaysia yang mempunyai badan bebas yang bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas