MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyambut baik Majlis Resepsi Mahligai Cinta Perdana anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Beliau berkata penganjuran majlis resepsi itu adalah untuk memartabatkan institusi perkahwinan dan memberi peluang kepada pasangan kurang berkemampuan merasai sebuah kenangan perkahwinan paling indah dalam hidup.
“Keluarga Malaysia pada ketika ini berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kesukaran mengimbangkan masa bersama keluarga akibat tuntutan kerja, pendidikan anak, penerapan nilai-nilai murni yang semakin terhakis, penjagaan anak dan ibu bapa, kestabilan kewangan dan peningkatan kos sara hidup.
“Kesukaran untuk mengawal dan mengatasi cabaran kehidupan berumah tangga seperti ini mungkin akan mempengaruhi kebahagian dan kesejahteraan keluarga,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di Pusat Konvensyen MPAJ, Taman Melawati
Sementara itu, Nancy berkata statistik perkahwinan dan penceraian di Malaysia pada 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, mencatatkan penurunan bilangan perkahwinan sebanyak 12.5 peratus daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada tahun 2023.
Beliau berkata berdasarkan dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Kelima (KPKM-5), 86.8 peratus individu bujang mempunyai keinginan untuk berkahwin.
“Namun masalah kewangan, ketiadaan calon yang sesuai dan fokus kepada kemajuan kerjaya antara faktor yang mendorong golongan muda untuk menangguh perkahwinan atau memilih untuk tidak berkahwin.
“Kecenderungan melewatkan perkahwinan terutama dalam kalangan wanita menyumbang kepada penurunan kadar kesuburan negara,” katanya.
Tambahnya lagi, trend penurunan kadar kesuburan di Malaysia ini membimbangkan dan mampu mengakibatkan krisis demografi.
Beliau berkata ini seperti penyusutan pertumbuhan penduduk, mempercepatkan proses penuaan penduduk, kebergantungan kepada pekerja asing, seterusnya memberi impak besar terhadap ekonomi dan sosial di Malaysia.
“Sebagai usaha memperkukuhkan institusi perkahwinan, KPWKM melalui LPPKN turut menawarkan Kursus Pra Perkahwinan SMART START 2.0 sebagai persediaan melayari alam perkahwinan dan membantu pasangan membuat keputusan yang bijak, memahami peranan masing-masing dan mengatasi konflik keluarga sekaligus mengelakkan perceraian.
“Untuk makluman, 35 pasangan yang diraikan dalam majlis resepsi ini telah mengikuti Kursus Pra Perkahwinan SMART START 2.0 secara dalam talian dan fizikal pada 16 dan 23 November yang lalu,” katanya. – WILAYAHKU