Berita

Pengurusan sisa pepejal lebih efisien

SEKITAR Program Bulan Kitar Semula & Serahan Tong di Jalan P10A3, Presint 10, Putrajaya
- Diterbit 26 November 2024 12:23 PM MYT

PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bersama Alam Flora Sdn Bhd menyasarkan penukaran sebanyak 4,858 unit tong hijau bagi kegunaan sisa baki kepada tong baharu sehingga November 2025 di Putrajaya.

Menurut Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya (PPj), Nik Shukri Nik Soh,  inisiatif tersebut adalah salah satu usaha bagi meningkatkan kesedaran dan pembudayaan amalan kitar semula dalam kalangan semua pihak terutamanya generasi muda dan seluruh warga Putrajaya.

“Pertukaran tong sisa mudah alih (MGB) bersaiz 120 liter (warna hijau) merupakan inisiatif oleh SWCorp dan dilaksanakan syarikat konsesi Alam Flora untuk menggantikan tong yang lama manakala tong bewarna oren dibekalkan oleh PPj.

“Tong hijau adalah bagi kegunaan sisa baki manakala tong oren untuk barangan kitar semula. Jumlah keseluruhan pertukaran tong hijau baharu bagi sesi 2024/2025 di Putrajaya adalah sebanyak 4,858 unit dan dijangka akan selesai pada November 2025.

“Bagi lokaliti Presint 10, sebanyak 38 jalan yang melibatkan 238 unit rumah teres bagi pertukaran tong tersebut,” katanya semasa melancarkan Program Bulan Kitar Semula & Serahan Tong di Jalan P10A3, Presint 10, Putrajaya.

Beliau berkata, program penukaran tong sampah itu diharap bakal membantu meningkatkan tahap kebersihan dan kualiti hidup penduduk setempat.

“Program ini selari dengan visi kerajaan untuk memperbaiki pengurusan sisa pepejal di samping menggesa penduduk untuk terlibat secara aktif menjaga kebersihan persekitaran dan memanfaatkan sebaiknya tong sisa mudah alih yang telah diedarkan,” ujarnya.

Nik shukri berkata, amalan atau budaya kitar semula adalah perkara yang berkait rapat dengan pengurangan kesan pelepasan karbon selari dengan inisiatif bandar hijau ke arah rendah karbon.

“Saya menyeru dan menyaran kepada semua, marilah kita bersama-sama menjadi environmental game changer ke arah menjamin persekitaran yang lebih bersih, hijau, selamat dan sihat dengan memaksimumkan amalan kitar semula, meminimakan sisa lebihan, mengurangkan penggunaan serta memastikan setiap barangan yang dihasilkan boleh diguna semula, dibaiki, dikitar semula dan dikomposkan.

“Ini amat penting supaya amalan kitar semula terus dibudayakan dan menjadi amalan kehidupan seharian seterusnya melahirkan masyarakat yang menghargai dan mengutamakan kebersihan dan keindahan persekitaran di Putrajaya,” ujarnya.

Nik Shukri berkata sejak tahun 2010 lagi, PPj telah menyediakan Pusat Belian Semula (Putrajaya Buy Back Centre) atau Pusat Kitar Semula Komuniti yang memberi peluang kepada orang ramai khususnya warga Putrajaya untuk menjual barangan terpakai yang tidak diperlukan lagi dan boleh dikitar semula.

“Selain itu, kita juga melaksanakan pelbagai inisiatif lain seperti 2 bin system iaitu penyediaan tong sampah domestik dan tong kitar semula untuk penduduk Putrajaya bagi menggalakkan pelaksanaan pengasingan sisa di punca.

“Untuk makluman, elemen kitar semula akan diterapkan di dalam reka bentuk rumah sampah yang baru nanti. Antara rumah sampah yang akan berwajah baru adalah di kawasan Perumahan Penjawat Awam 17RK1 Presint 17, Perumahan Penjawat Awam Fasa 1C Presint 16 dan Perumahan Penjawat Awam Fasa 3, Jalan P9G Presint 9,” ujarnya.

Tambahnya, pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sepanjang bulan kitar semula ini, dimulai dengan program penyerahan tong baru dan berakhir dengan Karnival Hari Kitar Semula Putrajaya yang akan diadakan pada 23 November ini.

“Besarlah harapan saya agar pelaksanaan program seperti ini dapat membuahkan hasil dan manfaat yang diterjemahkan melalui kesedaran dalam diri betapa pentingnya menjaga aspek kebersihan serta amalan kitar semula setanding dengan negara-negara maju serta menyahut seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa bagi pelan tindakan hala tuju Wilayah Persekutuan, C.H.A.S.E City dan Putrajaya Bersih Setiap Tempat (BeST),” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas