SEBANYAK enam buah premis perniagaan di Pusat Membeli-Belah Berjaya Times Square dikenakan tindakan tutup serta-merta.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata pihaknya telah melaksanakan tindakan khas terhadap premis yang menggajikan dan dikendalikan oleh bukan warganegara serta menjalankan perniagaan tanpa lesen perniagaan yang sah di pusat membeli-belah tersebut.
“Tindakan tersebut adalah di bawah UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sah serta dikendalikan oleh warga asing.
“Selain itu, sebanyak lapan Notis Tawaran Kompaun Kesalahan telah dikeluarkan terhadap premis perniagaan tersebut di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.
Tambahnya pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” katanya. – WILAYAHKU