LAWATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke beberapa buah negara bersama delegasi Malaysia merupakan lawatan untuk mengukuhkan hubungan diplomatik antara negara dalam pelbagai aspek.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Dr Elya Nabila Abdul Bahri berkata hubungan diplomatik dua hala adalah sangat penting untuk pembangunan sesebuah negara dari segi pelaburan, perdagangan, keselamatan dan keharmonian antara negara.
“Lawatan Perdana Menteri ke Mesir baru-baru ini misalnya, menjana potensi eksport bernilai RM4.8 bilion dan lawatan beliau ke Peru juga membuka potensi eksport bernilai RM1.24 bilion,” katanya.
Menurut Elya, potensi lonjakan eksport itu sebagai langkah mitigasi menangani lebihan dagangan negara yang semakin menguncup.
Katanya, lawatan Perdana Menteri bersama delegasi Malaysia ke China juga memperkukuhkan hubungan baik di mana China menjadi rakan dagang terbesar Malaysia.
“Bahkan pelabur dan syarikat China dilihat semakin berminat terhadap Malaysia. Sehingga September lalu, jumlah dagangan dengan China yang direkodkan adalah sebanyak RM355.15 bilion.
“Kehadiran Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2024 juga dapat mengukuhkan hubungan persahabatan antara negara sejajar dengan strategi laut biru,” katanya.
Anwar berangkat ke beberapa negara bersama delegasi Malaysia antaranya Kaherah, Mesir, Lima, Peru, Brazil dan China.
Mengulas lanjut, Elya berkata lawatan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia ke luar negara adalah kesinambungan dalam hubungan diplomatik yang terjalin sekali gus akan meningkatkan persefahaman dan keyakinan kepada Malaysia untuk negara luar melabur ke negara ini.
Beliau berkata untuk menarik minat negara luar ke Malaysia, negara perlu ke hadapan dengan mengadakan pertemuan bersama pemimpin utama antara negara.
“Negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Malaysia berkeyakinan untuk melabur ke negara ini untuk sektor bernilai tinggi seperti semikonduktor.
“Misalnya, pada tahun lalu, beberapa syarikat China berminat dalam perkhidmatan pembungkusan cip termaju yang ada di Malaysia,” katanya.
Tambah Elya, lawatan Perdana Menteri ke China baru-baru ini juga telah mengadakan perbincangan secara produktif termasuklah berkaitan potensi kerjasama dalam pelaburan teknologi inovasi ke Malaysia bersama beberapa pelabur utama China.
Jelasnya, ini akan dapat memperkukuhkan sektor bernilai tinggi.
“Usaha ini juga selaras dengan sasaran pelaburan sebanyak RM500 bilion dalam industri semikonduktor,” katanya.
Sementara itu, Elya berkata lawatan Perdana Menteri ke luar negara mencapai objektif, selaras dengan tindakan oleh kementerian-kementerian yang terlibat.
Namun katanya, pencapaiannya adalah berfasa kerana pelaburan merupakan aset jangka panjang.
“Misalnya, semasa lawatan Perdana Menteri ke Vientiane pada tahun ini, beberapa syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat menyatakan komitmen pelaburan berjumlah AS$14.7 bilion.
“Lawatan Perdana Menteri ke 22 negara sejak November 2022 menjana potensi pelaburan RM436.2 bilion.
“Ini adalah sejajar dengan misi penggalakan pelaburan sepanjang tempoh ini yang merangkumi sektor ekonomi digital, elektrik dan elektronik dan kimia. Ini merupakan bukti hasil lawatan yang telah dilakukan,” katanya. – WILAYAHKU