KAUM Melayu mencatatkan jumlah bilangan isi rumah miskin tegar teramai iaitu 21, 695 orang, manakala Pulau Pinang merupakan negeri paling ramai penduduk miskin tegar dengan jumlah 6,644 orang.
Statistik itu dibentangkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutaun), Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat, semalam.
“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sehingga 31 Oktober 2024 terdapat seramai 7,308 Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin Tegar melibatkan 25,144 Ahli Isi Rumah (AIR) dengan jumlah keseluruhan 32,452 orang.
“Sistem eKasih yang dibangunkan pada 2007 oleh Unit
Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) sebagai satu pangkalan data kemiskinan nasional yang bertujuan untuk mendaftarkan golongan miskin di Malaysia dan mengklasifikasikan kategori golongan miskin di Malaysia sama ada mereka tergolong dalam kalangan ‘Miskin Tegar dan Miskin’,” katanya.
Beliau menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok) yang meminta statistik terkini jumlah bilangan isu rumah miskin tegar mengikut negeri, kategori isi rumah serta pecahan kaum sehingga Oktober 2024.
Zaliha turut memberitahu, data eKasih adalah bersifat dinamik dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan disalurkan kepada agensi pemberi
bantuan bagi pelaksanaan program kesejahteraan rakyat.
Data yang dimasukkan ke dalam Sistem eKasih juga akan dibuat pemutihan sekurang-kurangnya dua tahun sekali.
“Sebagaimana Sistem eKasih disepadukan dengan sistem daripada agensi-agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Pejabat Zakat Negeri, maka ianya akan turut disepadukan dengan Sistem PAD,” katanya. – WILAYAHKU