CADANGAN untuk mempertimbang penggunaan nama Laut Melayu di perairan negara perlu diteliti dan dikaji dengan lebih lanjut.
Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa merujuk kepada persoalan dibangkitkan seorang Ahli Parlimen supaya Laut China Selatan dinamakan semula sebagaimana dilaksanakan beberapa negara jiran.
Menurut beliau, penggunaan nama bagi beberapa segmen laut seperti Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulu, Laut Sulawesi dan Laut Andaman merupakan penggunaan nama yang telah diguna pakai secara meluas di peringkat global.
“Ia terutamanya bagi tujuan pemetaan yang berpandukan kepada Publikasi S-23 – Names and Limits of the Oceans and Seas yang dikeluarkan oleh International Hydrographic Organisation (IHO) iaitu sebuah badan antarabangsa yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyelaras dan menyelia perkara berhubung pemetaan dan keselamatan pelayaran,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) sama ada kerajaan bercadang menamakan semula Laut China Selatan.
Ini selepas Vietnam menukarnya kepada Laut Timur manakala Indonesia (Laut Natuna Utara) dan Filipina (Laut Filipina Barat).
Dr Zaliha berkata, kerajaan sentiasa komited mempertahan kedaulatan perairan negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.
Katanya, tindakan yang dilaksanakan oleh Malaysia di perairan negara adalah berdasarkan kepada kedaulatan dan hak-hak kedaulatan (sovereign rights) di bawah undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Justeru sebarang tindakan yang disarankan termasuk cadangan untuk mempertimbang penggunaan nama Laut Melayu di perairan negara perlu diteliti dan dikaji dengan lebih lanjut.
“Ini bagi memastikan tindakan tersebut adalah selaras dengan amalan antarabangsa dan pemakaian undang-undang antarabangsa termasuk UNCLOS 1982 dan berupaya memberikan nilai tambah dalam membantu mengukuhkan tindakan effectivitae yang dilaksanakan oleh kerajaan,” jelasnya. – WILAYAHKU