MALAYSIA dan Vietnam mengesahkan komitmen untuk terus bekerjasama rapat bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan selain mengukuhkan kerjasama pelbagai bidang lain.
Komitmen itu disuarakan dalam kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menerima lawatan rasmi Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam ke Putrajaya hari ini.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua negara juga komited menyelesaikan pertikaian di perairan itu dengan baik tanpa sebarang ancaman atau kekerasan selaras prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.
“Malaysia dan Vietnam selanjutnya menegaskan semula kepentingan bagi semua pihak untuk menunjukkan kebertanggungjawaban dalam mengelak daripada menjalankan aktiviti yang boleh meningkatkan ketegangan, yang seterusnya menjejaskan keamanan serta kestabilan di Laut China Selatan.
“Kedua-dua negara menyeru pelaksanaan penuh dan berkesan serta mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi perundingan Deklarasi Kod Tatalaku (DOC) di perairan itu selaras dengan undang-undang antarabangsa,” jelas kenyataan itu.
Terdahulu Malaysia dan Vietnam sepakat untuk memperkasa usahasama dalam bidang pertahanan, maritim, digital dan sektor tenaga termasuk berkaitan Grid Kuasa Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).
Kedua-dua pemimpin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman bagi meningkatkan promosi perdagangan antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Agensi Promosi Perdagangan Vietnam (VIETRADE) serta Memorandum Kerjasama antara Petronas dan PetroVietnam dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
Menyifatkan lawatan To Lam sebagai satu yang bermakna, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, ia membolehkan kedua-dua negara memperkukuh hubungan dua hala ke arah perkongsian strategik lebih menyeluruh.
To Lam dan isteri, Ngo Phuong Ly serta delegasinya tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.15 pagi ini.
Beliau kemudiannya diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya.
Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos tahun ini.
Dalam pada itu, To Lam menyatakan sokongan Vietnam terhadap Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Beliau turut mengesahkan komitmen negaranya untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia dan semua negara anggota ASEAN ke arah merealisasikan Visi Komuniti ASEAN 2025, dengan mempromosikan pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan kerjasama serantau yang dipertingkatkan. – WILAYAHKU