Berita

Jalan Masjid India dibuka semula

- Diterbit 20 November 2024 2:34 PM MYT

JALAN Masjid India yang sebelum ini terlibat dengan insiden lubang benam telah dibuka semula kepada orang awam berkuat kuasa mulai 10 November lalu.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata laluan yang dibuka termasuk kawasan berhampiran Bit Polis Jalan Masjid India serta lorong antara premis perniagaan.

“Pembukaan ini dibuat setelah kerja-kerja pembaikan dan penyiasatan tanah di kawasan tersebut berjaya diselesaikan.

“DBKL menghargai kesabaran dan kerjasama yang telah diberikan oleh orang ramai serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh kerja-kerja ini dijalankan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut DBKL, kawasan “Ground Zero” yang terletak berhampiran Wisma Melayu masih ditutup untuk kerja-kerja pembaikan yang sedang giat dijalankan.

“DBKL komited memastikan kerja-kerja ini dapat diselesaikan dengan selamat dan menyeluruh. Berdasarkan prestasi kerja-kerja di tapak.

“Kawasan ‘Ground Zero” ini dijangka akan dibuka sepenuhnya menjelang hujung Disember 2024 berbanding jangkaan awal pada Februari 2025,”katanya.

Ujar kenyataan itu, DBKL akan terus berusaha memastikan keselamatan dan keselesaan warga kota sentiasa terpelihara.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kefahaman semua pihak dalam usaha membangunkan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya yang selamat dan mampan,”katanya.

Sebelum ini pelancong dari India, Vijayalakhsmi telah hilang selepas jatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter yang disebabkan oleh lubang terbenam di Jalan Masjid India, ketika dalam perjalanan ke sebuah kuil berhampiran dalam satu insiden pada 23 Ogos lalu.

Situasi tersebut berjaya dirakamkan dari kamera litar tertutup (CCTV) kedai berhampiran dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan pasukan keselamatan serta pihak berkuasa tempatan dilancarkan pada hari yang sama walau bagaimanapun SAR dihentikan pada 31 Ogos 2024 setelah sembilan hari ia dijalankan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas