Berita

Cadangan destinasi penganjur ASEAN dialu-alukan

- Diterbit 19 November 2024 2:05 PM MYT

CADANGAN menjadikan Labuan sebagai destinasi pilihan untuk menjadi penganjur Persidangan Kemuncak ASEAN pada tahun depan disambut baik penduduk pulau itu yang melihat ia sebagai usaha kerajaan untuk memperkasakan pembangunan Labuan.

Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Simsudin Sidek, cadangan tersebut bakal memberi impak positif kepada ekonomi.

“Saya mewakili PL berbesar hati dengan cadangan dan usaha kerajaan khususnya Kementerian Belia dan Sukan yang mahu memilih pulau ini untuk menjadi penganjur Persidangan Kemuncak ASEAN.

“Ini merupakan satu peluang yang perlu kita manfaatkan untuk mempromosikan produk-produk ekonomi, pelancongan dan budaya kepada pengunjung luar,” katanya ketika dihubungi.

Simsudin berkata pihaknya sentiasa memberi dan membuka ruang untuk kerjasama dengan pelbagai kementerian (kerajaan) mahupun pihak swasta jika cadangan tersebut dicapai agar dapat memastikan penganjuran bertaraf antarabangsa itu mampu dilaksanakan dengan sebaiknya dan sempurna.

“Selain itu kita juga akan bekerjasama dengan pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan (NGO) untuk merancang persiapan yang perlu dilaksanakan jika ia (persidangan) diadakan di Labuan pada tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan, Datuk Dahlif Singh berpendapat ia adalah usaha yang perlu dilaksanakan dalam memacu pembangunan ekonomi Labuan yang ketika ini masih berada di tahap kurang memberangsangkan.

Katanya, jika penganjuran yang dicadangkan itu dilaksanakan ia bukan sahaja meningkatkan ekonomi bahkan dapat mempromosikan Labuan sebagai satu pulau yang memiliki potensi besar bagi industri minyak dan gas serta pusat kewangan antarabangsa kepada peserta persidangan tersebut.

“Usaha ini amat bagus dan diperlukan oleh Labuan terutamanya seperti ahli perniagaan seperti kami. Diharapkan kerajaan merealisasikan cadangan tersebut dan saya yakin ia memberi impak yang luar biasa terhadap pelbagai pihak termasuklah pengusaha teksi dan bas, hotel, kedai makan, peniaga kecil dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada lawatan kerja ke Labuan baru-baru ini memberitahu kementeriannya telah merangka untuk menjadikan Labuan destinasi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun hadapan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas