Berita

Penyasaran subsidi RON95 bawa kebaikan kepada 85 peratus rakyat

Gambar hiasan
- Diterbit 18 November 2024 4:45 PM MYT

PAKAR ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan penyasaran subsidi RON95 akan memberi kebaikan kepada rakyat kerana majoriti 85 peratus (%) rakyat tempatan akan kekal menerima subsidi.

Beliau yang juga Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS berkata penyasaran subsidi itu juga membolehkan penyeludupan minyak ke negara jiran dihapuskan.

“Penjimatan sebanyak jangkaan RM12 bilion akan dapat disalurkan kembali kepada rakyat.

“Kita melihat bagaimana penjimatan RM4 bilion melalui rasionalisasi subsidi diesel membolehkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dinaikkan peruntukannya daripada RM10 bilion pada tahun 2024 kepada RM13 bilion pada tahun 2025,” katanya.

Razman berkata penyasaran RON95 pada tahun hadapan membolehkan peruntukan STR dinaikkan lagi pada tahun 2026 melalui penjimatan tersebut.

Beliau berkata selain peningkatan bantuan STR, kerajaan juga dapat menyediakan insentif kepada majikan supaya gaji pekerja dapat dinaikkan melalui gaji minimum atau gaji progresif.

Terdahulu, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjimatan yang dicapai daripada penyasaran subsidi bahan api itu akan dimanfaatkan untuk kesejahteraan rakyat terbanyak.

Anwar berkata dana RM8 bilion hasil 40 peratus subsidi petrol RON95 yang dinikmati warga asing dan golongan maha kaya akan dimanfaatkan kepada kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Sebelum ini kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Katanya kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Ujar beliau yang juga Menteri Kewangan, sebanyak RM250 juta turut disediakan bagi meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka.

Menurutnya inisiatif itu merupakan ikhtiar kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar melalui peningkatan pendapatan rakyat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas