KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menumpaskan satu sindiket seleweng minyak masak paket yang dijual dengan harga lebih mahal.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata modus operandi itu dikesan pihaknya menerusi serbuan Ops Tiris 3.0 yang dijalankan secara berasingan di sebuah rumah di Taman Kajang Jaya, Kajang dan premis perniagaan di Bandar Rinching, Semenyih, Selasa lalu.
Menurutnya, penyelewengan itu dilakukan dengan minyak masak paket bersubsidi itu dibeli dan dicampur dengan minyak masak terpakai sebelum dijual pada harga yang lebih tinggi.
“Pasukan penguatkuasa KPDN membuat serbuan selepas menerima aduan awam mengenai kegiatan sindiket yang disyaki menyeleweng minyak masak paket.
“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua premis itu berjaya menemukan anggaran 14,340 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi pelbagai jenama yang telah dipotong bungkusan dan disimpan di dalam tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC), selain sebahagian yang masih belum dibuka,” katanya pada sidang medianya berkaitan penyelewengan minyak subsidi paket.
Sementara itu, Armizan berkata, premis perniagaan itu disyaki berselindung di sebalik perniagaan membeli dan menjual minyak masak terpakai dengan menjadikannya sebagai lokasi pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen yang sah.
Katanya, minyak masak yang telah dicampur itu kemudiannya akan dijual sebagai minyak masak terpakai pada harga sekitar RM3.80 sekilogram kepada pihak industri dipercayai untuk kegunaan sebagai biodiesel.
“Harga minyak masak bersubsidi adalah RM2.50 sepaket, bila sudah dicampur dengan minyak masak terpakai, sindiket berkenaan boleh jual sehingga RM3.80 sekilogram.
“Jadi kita anggarkan sindiket yang dikesan telah beroperasi sejak enam bulan yang lalu,” katanya.
Armizan berkata, selain rampasan minyak masak, pihaknya turut menyita beberapa peralatan lain yang digunakan untuk menjalankan kegiatan haram itu seperti hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa buah tangki IBC, tiga buah lori serta sebuah kereta mewah yang secara keseluruhan dianggarkan berjumlah RM429,850.
Katanya lagi, seramai 15 individu terdiri daripada 11 lelaki warga asing dan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Mahkamah Majistret Kajang telah meluluskan permohonan reman bagi kesemua individu yang ditahan itu selama empat hari bermula semalam sehingga 16 November,” katanya.
Armizan berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti haram ini serta rantaian pengedaran minyak masak terbabit. – WILAYAHKU