KAJIAN Pembangunan secara menyeluruh di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dan Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur akan datang turut akan memberikan perhatian kepada semua perkara, termasuklah isu harga sewaan lot kedai dan produk jualan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Jelasnya, setiap idea dan pandangan mengenai perkara ini akan diperhalusi dalam sesi libat urus yang akan diadakan kelak.
Zaliha memberitahu, bagi isu peniaga warga asing yang berniaga tanpa permit di sekitar PBKL, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengambil tindakan seperti (mengikut peraturan yang sedia ada) menyita peralatan serta barangan perniagaan seperti yang telah termaktub sebenarnya dalam Undang-undang Kecil Pasar Borong (WPKL 2002).
“Selain daripada itu, DBKL juga bersama agensi-agensi sahabat yang lain, kita ada satu program baru yang kita kenalkan dengan nama “KL Strike Force”.
“Jadi KL Strike Force ini juga turut melaksana operasi bagi memangani isu kebanjiran warga asing. Memang dia ada satu isu yang agak sukar untuk kita atasi sepenuhnya, tetapi kita akan lakukan yang sebaik mungkin,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin mendapatkan penjelasan daripada kerajaan berhubung usaha membangun dan memodenkan Pasar Borong Kuala Lumpur pada sidang Kamar Khas di parlimen hari ini.
Menyentuh isu ketiadaan Ahli Majlis seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain, Zaliha menjelaskan bahawa buat sementara ini pihaknya tiada apa-apa cadangan untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
“Ini adalah kerana di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Akta 190 yang berkuatkuasa sejak 1 April 1961 telah memperuntukkan mengenai penubuhan suatu badan yang dinamakan ‘Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur’ bagi menasihati Datuk Bandar berkaitan dengan pentadbiran bandar raya sebagaimana yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan mengenai perkara-perkara yang diarahkan oleh Menteri.
“Anggota Lembaga Penasihat adalah dilantik oleh YDPA seperti mana yang diperuntukkan di bawah seksyen 7 Akta 190 dan mengikut Peraturan-Peraturan Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur,”katanya.
Jelas Zaliha, Ahli Majlis tidak dilantik di DBKL namun sebagai menteri, beliau telah meneliti semua kefungsian struktur sedia ada di bawah Akta 190 dan telah mengaktifkan semula Majlis Menteri Wilayah.
“Majlis Menteri Wilayah ini mengumpulkan semua ahli-ahli Parlimen di peringkat Kuala Lumpur dengan pengukuhan peranannya yang lebih meluas, khususnya dalam membincangkan dan menyumbang idea berkenaan dasar dan strategi serta isu perancangan dan pembangunan Bandaraya Kuala Lumpur.
“Disamping itu juga, penambahbaikan terma rujukan Mesyuarat Konsultansi Datuk Bandar Kuala Lumpur bersama Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam mengenalpasti perkara-perkara yang menjadi masalah di sekitar Kuala Lumpur.
“Ia juga sebenarnya melihat kepada penyelesaian yang inklusif kepada isu-isu yang melibatkan kepentingan dan kebajikan warga kota. Jadi itu adalah sebenarnya satu medium yang baik untuk penyaluran maklumat secara dua hala antara pihak berkuasa dan juga mereka-mereka yang terlibat mengenai isu-isu terkini pengurusan bandar raya juga sekitar Kuala Lumpur,”katanya.
Tambah Zaliha, dalam memastikan kecekapan penyaluran maklumat, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) telah ditubuhkan untuk mendapatkan maklum balas pemegang taruh selain tindakan penyelesaian dan pemantauan isu-isu tempatan tuut diperkasakan.
“Saya tidak menutup usaha-usaha untuk menambah baik atau melihat semula akta ibu kota tersebut. Tetapi buat masa ini, sementara kita melihat yang itu (Ahli Majlis), kita juga melakukan penambah baikan ke atas kefungsian kepada struktur yang sedia ada,”katanya. – WILAYAHKU