Berita

PM adakan lawatan ke Peru, hadir mesyuarat pemimpin ekonomi APEC

89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 226 128 153 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 104 97 100 105 114 32 104 97 100 105 114 32 112 97 100 97 32 77 97 106 108 105 115 32 80 101 114 97 115 109 105 97 110 32 80 114 111 116 111 110 32 83 97 103 97 32 67 75 68 32 65 115 115 101 109 98 108 121 32 79 112 101 114 97 116 105 111 110 32 100 105 32 75 97 104 101 114 97 104 32 77 101 115 105 114 32 112 97 100 97 32 49 50 32 78 111 118
- Diterbit 12 November 2024 11:38 PM MYT

SELEPAS Mesir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Lima, Peru, esok, bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang ke-31.

Wisma Putra memberitahu, mesyuarat itu akan berlangsung dari 14 hingga 16 November ini.

Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

“Lawatan rasmi ini merupakan lawatan sulung Perdana Menteri ke rantau Amerika Latin. Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra bagi membincangkan kerjasama dua hala di antara Malaysia dan Peru.

“Ini termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta industri halal serta mengukuhkan hubungan persahabatan antara negara,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah Wisma Putra, kedua-dua pemimpin dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan di forum serantau dan pelbagai hala, khususnya ASEAN dan APEC, serta menyaksikan pemeteraian beberapa memorandum persefahaman.

Katanya, Perdana Menteri dijadual mengadakan perbincangan meja bulat dengan kapten industri Peru bagi mempromosikan peluang perniagaan khususnya dalam sektor tenaga boleh baharu dan industri digital.

Bertemakan ‘Empower. Include. Grow.’, Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC di bawah kepengerusian Peru akan memfokuskan kepada pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan, inovasi, pendigitalan dan pertumbuhan mampan.

Ini merupakan kali ketiga Peru menjadi tuan rumah kepada AELM, selepas 2008 dan 2016.

Menurut Wisma Putra, penglibatan Perdana Menteri di AELM termasuk menghadiri Sidang Kemuncak CEO APEC pada 14 November di mana beliau adalah ahli panel dalam sesi bertema ‘Opportunities and Challenges in the AI Revolution’.

Katanya, pada 15 November, beliau akan menyertai Dialog Tidak Rasmi Pemimpin APEC Dengan Tetamu dan Dialog Pemimpin Ekonomi APEC bersama Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC).

“Perdana Menteri akan membuat pencelahan semasa Sesi Pemukiman AELM pada 16 November.

“Di sela-sela AELM, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatnya dari Ekonomi APEC yang lain,” katanya.

Tambahnya, sepanjang lawatan, Perdana Menteri akan berkongsi keutamaan-keutamaan Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan pengukuhan kerjasama untuk manfaat semua.

“Sebagai salah sebuah ekonomi pengasas APEC, penyertaan aktif Malaysia dalam Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memajukan kerjasama ekonomi, mempromosikan kesejahteraan bersama dan mendorong pembangunan inklusif di seluruh rantau Asia Pasifik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas