Berita

‘Yang kata umum dahulu, kaji kemudian itu hanya pembangkang’ – Rafizi

- Diterbit 12 November 2024 12:25 PM MYT

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak sikap pembangkang yang berterusan memainkan sentimen kononnya kerajaan hanya pandai ‘umum dahulu, kaji kemudian’ dalam konteks penyasaran subsidi RON95.

Secara faktanya beliau berkata, semasa Kajian Separuh Penggal dibentangkan di Parlimen pada September 2023, kerajaan sudah memberi maklum bahawa sasaran subsidi adalah asas utama reformasi dan pembaharuan ekonomi untuk mengukuhkan fiskal kerajaan.

Menurut beliau, ia bermula dengan (penyasaran subsidi) diesel dan kemudiannya RON95.

“Yang kata umum dulu tapi tak kaji ini sebenarnya hanyalah pembangkang sebab itu kita dah bagi isyarat bahawa penyasaran subsidi ini adalah asas utama (disebut dalam Kajian Separuh Penggal).

“Kecualilah ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak baca pun Kajian Separuh Penggal yang dibentangkan itu.

“Jadi tak timbul umum dahulu kemudian baru buat,” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang membangkitkan dakwaan berkenaan khususnya dalam penyasaran subsidi RON95.

Rafizi berkata, projek rintis penyasaran subsidi RON95 telah dilakukan antara 2022 sehingga tahun lalu untuk penggunaan kad pengenalan dan e-dompet di stesen-stesen minyak terpilih.

Beliau turut menegaskan kebanyakan negara tidak mempunyai sistem subsidi minyak yang begitu luas seperti di Malaysia.

“Kalau di rantau Asia Tenggara ini tidak ada lagi negara kecuali Brunei, yang memberikan subsidi sebegitu banyak kepada semua orang,” katanya.

Terdahulu beliau ketika menjawab soslan asal Suhaizan Kayat (PH-Pulai) mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi itu melibatkan dua bahagian utama.

Pertamanya kata beliau, penentuan golongan 85 peratus yang layak berdasarkan kedudukan sosioekonomi isi rumah yang mengambil kira pendapatan bersih (iaitu pendapatan kasar ditolak bayaran wajib seperti cukai, caruman, zakat dan seumpamanya), tanggungan dan kos sara hidup berdasarkan lokasi.

Untuk itu katanya, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memperkenalkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut daerah di seluruh Malaysia, sebagai nilai ambang perbelanjaan sesebuah keluarga mengikut jumlah tanggungan untuk menjalani kehidupan wajar.

Katanya, nilai ambang perbelanjaan isi rumah ini mengambil kira perbelanjaan yang lebih besar, selain dari kos biasa seperti makanan, perumahan, tenaga dan sebagainya, untuk sesebuah keluarga menikmati hidup bermaruah dan turut serta di dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.

“Bahagian kedua melibatkan pelaksanaan penyasaran subsidi di stesen minyak. Ini melibatkan pengesahan kelayakan seseorang mengambil kira kedudukan sosioekonomi isi rumahnya menggunakan beberapa kaedah yang sedang dipertimbangkan, iaitu kad pengenalan dan e-dompet.

“Secara umumnya, bahagian pertama iaitu penentuan kelayakan dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan bahagian kedua iaitu pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 menggunakan harga dua peringkat di stesen minyak dibangunkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau menambah, pada tempoh ini, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang meneliti dan memperhalusi mekanisme terperinci pelaksanaan subsidi RON95 menggunakan prinsip-prinsip terbabit.

Katanya, kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan tahun 2025. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas