DATUK Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Maimunah Mohd Sharif menggesa semua pihak menjadikan konsep bandar raya yang didiami kepada bandar raya yang dicintai bagi membolehkan semua pihak berkepentingan meneroka peluang memajukan lagi bandar raya masing-masing.
Bercakap kepada delegasi Forum Bandar Raya Sedunia (World Urban Forum), beliau menjelaskan konsep mencintai bandar raya yang dilaksanakan membolehkan bandar raya tersebut membangun tanpa meminggirkan warganya dari aspek sosioekonomi.
“Konsep yang dilaksanakan Kuala Lumpur adalah dari Kuala Lumpur yang boleh didiami kepada yang dicintai. Jika anda sayangkan bandar anda, anda akan melakukan segala-galanya untuk melakukan apa yang perlu dilakukan.
“Sebagai pentadbir bandar raya, kita juga perlu menggerakkan penduduk yang tinggal di bandar dan menjemput pelabur asing untuk melabur di bandar,” katanya di WUF di Kaherah pada Selasa.
Menjelas lanjut, Maimunah berkata bagi mencapai matlamat tersebut, aspek tadbir urus perlu diberi penekanan serta kapasiti yang sentiasa bersedia untuk menyerap pelaburan langsung asing.
“Peranan pentadbir bandar raya adalah penasihat kepada kerajaan, kerajaan tempatan serta wilayah masing-masing dan kita perlu memastikan ia didengari dan memastikan dilaksanakan.
“Pentadbir bandar raya juga adalah penasihat untuk semua peringkat masyarakat termasuk sektor swasta dan ia merupakan komponen penting dalam membangunkan bandar raya,” katanya.
Beliau berkata, rakan Datuk Bandar lain turut menyebutkan semua prinsip tersebut, namun ia memerlukan keupayaan untuk menterjemahkan strategi tersebut ke dalam program berorientasikan projek di lapangan bersama-sama dengan rakyat sekali gus membantu meraih manfaat ekonomi.
“Untuk mempunyai kemungkinan yang ada dan impak tinggi kepada kehidupan rakyat tidak begitu banyak pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Saya rasa kita perlu bertindak melangkaui KDNK, kita mahu lihat (kesan) dan itulah yang saya promosikan.
Tambahnya, walaupun mempunyai pembiayaan dalam melaksanakan projek berkaitan, tetapi tanpa kapasiti dan kepakaran untuk melaksanakan serta untuk menghasilkan projek-projek atau program bersama-sama dengan masyarakat juga dilihat tiada matlamat.
Menurutnya, tiga ramuan seperti kapasiti, kepimpinan dan tadbir urus serta tindakan tempatan adalah sangat penting dalam merangka pembangunan bandar raya mampan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs).
“Sebab itu pelaksanaan SDGs secara tempatan sangat penting kerana 64 peratus daripada 169 Sasaran SDGs akan dilaksanakan di bandar berikutan 70 peratus daripada penduduk berada di bandar,” katanya.
Ujar Maimunah, beliau turut melihat bahawa pembangunan bakat, pelaburan dan pertumbuhan ekonomi merupakan sebahagian daripada cabaran terhadap masalah perbandaran dan sebagai pentadbir, ia memerlukan usaha untuk menyelesaikannya. – WILAYAHKU