BAHAGIAN Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) menegaskan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan.
Penegasan itu sebagai menjawab isu dibangkitkan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut BHEUU, menteri berkenaan juga tidak terlibat dengan apa-apa urusan melibatkan Lembaga Pengampunan.
“Sehubungan itu, adalah dimaklumkan bahawa Menteri Wilayah Persekutuan merupakan salah seorang ahli Lembaga Pengampunan bagi Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“BHEUU dipertanggungjawabkan untuk urusan penyelarasan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya serta menyediakan pelaporan secara terus hanya kepada Menteri Wilayah Persekutuan sebagai menteri yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Terdahulu Takiyuddin mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Ahli Parlimen Pengerang membuat kenyataan tidak berfakta dan mengelirukan kerana menyatakan menteri bertanggungjawab dalam sekretariat Lembaga Pengampunan membabitkan kes Datuk Seri Najib Razak adalah Menteri Wilayah.
BHEE menegaskan, Perkara 42 (11), Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa: “Bagi maksud Perkara ini, maka hendaklah ditubuhkan Lembaga Pengampunan tunggal bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan peruntukan Fasal (5), (6), (7), (8) dan (9) hendaklah terpakai mutatis mutandis bagi Lembaga Pengampunan di bawah Fasal ini kecuali bahawa sebutan mengenai “Raja atau Yang di-Pertua Negeri” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Yang di-Pertuan Agong dan sebutan mengenai “Ketua Menteri Negeri itu” hendaklah ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya”.
“Oleh itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan melibatkan Lembaga Pengampunan,” katanya. – WILAYAHKU