Berita

Tindakan buli tidak wajar, rosakkan imej UPNM – Khaled

- Diterbit 11 November 2024 11:22 AM MYT

KEMENTERIAN Pertahanan menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden buli yang sekali lagi didakwa berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah dimaklumkan berkenaan laporan melibatkan pelatih di universiti itu yang mengalami kecederaan dipercayai tindakan seorang pelatih senior.

“Susulan laporan polis yang dibuat, Kementerian Pertahanan menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk menyempurnakan siasatan.

“Kementerian Pertahanan berpendirian kejadian sebegini adalah tidak wajar dan merosakkan imej UPNM dan institusi pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Justeru pihaknya dan Kementerian Pertahanan akan memberi sepenuh kerjasama dan perhatian dalam perkara ini.

Terdahulu Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan menerima satu laporan pada kira-kira pukul 8.40 malam pada 8 November lalu.

Menurutnya, mangsa yang berusia 19 tahun itu dikatakan berada di tepi padang kawad institusi pengajian itu sebelum dia dipanggil dan dipijak oleh penuntut tahun tiga.

Mangsa yang mengalami keretakan pada tulang rusuk dan tulang belakang kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas