PERBALAHAN antara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok tidak akan menjejaskan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata itu hanya isu peribadi antara individu pemimpin.
“Dalam mana-mana gabungan politik sudah tentu juga (ada) perselisihan antara individu. Itu diperingkat individu.
“Perselisihan antara individu itu dia tak boleh menjejaskan kerjasama diperingkat kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).
Pada 25 Oktober lalu, Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyaman Akmal yang didakwa memfitnahnya berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal ke atas restoran.
Writ saman itu disampaikan peguam cara SN Nair & Partners kepada Akmal yang juga Exco Melaka.
Teresa sebelum ini mengemukakan surat tuntutan yang menuntut ganti rugi RM25 juta namun Akmal menolaknya dan berdepan dengannya di mahkamah.
Dalam videonya, Akmal telah menggelar Teresa sebagai wanita nyonya tua dan memintanya tidak mencampuri urusan hal ehwal Islam termasuk berkait cadangan pensijilan halal.
Kedua-duanya telah disoal siasat oleh polis berhubung kenyataan mereka dalam isu terbabit.
Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata perbalahan antara ahli politik dalam mana-mana gabungan politik bukan perkara baharu.
Beliau berkata apa yang penting adalah DAP mahu melihat kepada hala tuju negara.
“Barisan Nasional (BN) sudah berpuluh tahun pun antara UMNO dan MCA bergaduh.
“Jadi ini sesuatu yang kebiasaan dalam politik. Bagi kita kita lihat kepada keseluruhan, bukan lihat kepada mana-mana individu,” katanya.
Sementara itu, Anthony Loke menyifatkan masih terlalu awal untuk berbicara mengenai Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) khususnya sama ada DAP bersedia untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata dalam tempoh masa ini DAP lebih memberikan fokus dengan kerjasama yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan. – WILAYAHKU