Berita

‘Ada beberapa kemungkinan’ – Zahir ulas isu kondominium J Satine

- Diterbit 9 November 2024 5:29 PM MYT

AHLI Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan berkata terdapat beberapa kemungkinan berhubung punca keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai di tingkat 8 dan ke atas J Satine.

Bagaimanapun, beliau buat masa ini enggan mengulas lebih lanjut dan membuat kesimpulan berhubung perkara tersebut.

“Saya dapat video mengenai retak itu. Sebagai seorang jurutera saya rasa tidak adil untuk saya buat kesimpulan.

“Saya kira notis (telah) dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk henti kerja. Pemaju diberi tujuh hari untuk melantik jurutera perunding untuk menilai keadaan itu sebelum buat apa-apa kesimpulan,” katanya.

Terdahulu, DBKL hari ini mengarahkan pihak perunding sebuah tapak pembinaan kondominium di Wangsa Maju menghentikan segala kerja pembinaan.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan terdapat keretakan pada struktur shear wall, tiang dan lantai unit di tingkat 8 dan ke atas J Satine hasil siasatan terhadap aduan diterima daripada penduduk berhampiran berkaitan berlakunya letupan di tapak itu pada 7 November lepas.

DBKL turut mengarahkan pihak perunding supaya melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine dan mengemukakan laporan hasil daripada pemeriksaan integriti struktur.

Selain itu, pihak perunding juga diarahkan menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.

Mengulas lanjut, Zahir berkata buat masa ini beliau belum melihat lagi penilaian secara teknikal dibuat oleh pihak terbabit.

“Ada beberapa kemungkinan setakat ini. Tetapi saya tidak mahu (beritahu) sungguh pun ada pandangan (sendiri),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas