Berita

UNIFIL siasat serangan letupan di Beirut, anggota MALBATT 850-12 selamat berada di kem

- Diterbit 9 November 2024 3:32 PM MYT

PASUKAN Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sedang melakukan siasatan mengenai insiden serangan bom di Lebanese Armed Forces (LAF) Check Point dekat Stadium Saida, Beirut, kelmarin.

Serangan itu turut menjejaskan konvoi anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang dalam perjalanan menuju ke Kem Marakah dengan enam daripada mereka mengalami kecederaan.

Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), konvoi berkenaan telah selamat tiba di Kem Marakah pada hari yang sama, kira-kira pukul 5.30 petang waktu Lubnan (11.30 malam waktu Malaysia) bersama lima daripada enam anggota yang cedera.

Katanya, salah seorang anggota yang menerima rawatan di Hospital Hamood juga telah dibenarkan keluar pada 12.01 tengah hari semalam (waktu Luban) atau 6.01 pagi waktu Malaysia.

“Semua anggota kini selamat berada di kem. Rawatan susulan terhadap anggota yang mengalami kecederaan akan diteruskan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850 di Kem Marakah dan akan meneruskan tugasan seperti biasa apabila pulih sepenuhnya,” jelas ATM dalam kenyataan.

Tambahnya, ATM akan meneruskan rancangan pertukaran anggota antara MALBATT 850-11 dan MALBATT 850-12 mengikut jadual yang telah dirancangkan oleh pihak UNIFIL.

Katanya, perkara tersebut turut dilaksanakan oleh beberapa negara yang menghantar pasukan pengaman ke UNIFIL, yang terlibat dalam rancangan pertukaran anggota pada bulan ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Kumpulan kedua MALBATT 850-12 dijangka berlepas pada 10 November ini berkekuatan seramai 219 orang manakala anggota MALBATT 850-12 yang masih berada di Malaysia tetap menjalankan tugas seperti biasa dan sedang melakukan persiapan akhir sebelum diatur gerak ke Lubnan.

“Mereka tetap mempamerkan moral dan semangat juang yang tinggi,” katanya.

Jelasnya, ATM kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan terus memantau secara rapi melalui Markas Angkatan Bersama berkenaan perkembangan insiden tersebut.

Terdahulu kumpulan pertama MALBATT 850-11 seramai enam pegawai dan 200 anggota ATM serta Angkatan Bersenjata Diraja Brunei selamat tiba ke tanah air semalam.

Kumpulan pertama yang diketuai Ketua Pergerakan, Komander Errudin Bujang tiba dengan menaiki pesawat komersial mendarat di Pangkalan Udara Subang. – WILAYAHKU

caption:
KUMPULAN pertama MALBATT 850-11 melakukan sujud syukur selepas selamat tiba di tanah air dari Lubnan, semalam.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas