Berita

Insiden letupan: Enam anggota MALBATT 850-12 cedera

- Diterbit 8 November 2024 11:59 AM MYT

ENAM anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 cedera dalam satu insiden letupan berdekatan Stadium Saida, Lubnan, semalam.

Menurut Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kejadian berlaku pada pukul 1.54 petang waktu tempatan (7.54 malam waktu Malayssia) ketika pergerakan anggota MALBATT 850-12 dari Beirut ke Kem Marakah.

ATM memberitahu, letupan tersebut menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut.

“Namun ia turut mengakibatkan kerosakan pada bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

“Akibat kejadian tersebut, seramai enam anggota MALBATT 850-12 mengalami kecederaan iaitu lima cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan. Seorang lagi anggota juga mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

ATM menambah, anggota yang cedera di tangan itu telah segera dibawa ke Hospital Hamood di Saida untuk mendapatkan rawatan oleh Pegawai Perubatan MALBATT 850-11.

“ATM akan terus memantau perkembangan situasi ini dengan rapi dan akan memaklumkan sebarang kemas kini berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa.

“ATM Kekal komited terhadap tahap keselamatan dan kesejahteraan anggota dalam melaksanakan misi pengaman di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas