Berita

Kerajaan fokus perolehan aset digariskan Kertas Putih Pertahanan

- Diterbit 5 November 2024 10:20 AM MYT

KERAJAAN perlu memberi fokus terhadap perolehan aset-aset strategik yang telah digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.

Demikian tegas Kementerian Pertahanan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat mengenai persoalan sama ada kerajaan bercadang memiliki aset kapal induk atau kapal pengangkut pesawat pejuang.

Perkara itu ditanyakan Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) berhubung perolehan aset berkenaan untuk menjaga perairan dan keselamatan negara.

Menurut Kementerian Pertahanan, pada masa ini, pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membangunkan pelan pembangunan keupayaan domain laut bagi memperkasa keupayaan pertahanan.

Malah jelasnya, ia juga memperkassa kapasiti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara selaras dengan Kertas Putih Pertahanan melalui Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform).

“Kertas Putih Pertahanan juga telah menjelaskan perancangan kerajaan bagi membangunkan Angkatan Masa Hadapan untuk merealisasikan strategi Cegah Rintang Berpadu.

“Strategi ini menggariskan keperluan keupayaan TLDM yang merangkumi keupayaan pelbagai dimensi peperangan maritim, pengangkutan laut strategik serta operasi amfibi,” katanya.

Kementerian Pertahanan menambah, bagi memenuhi keperluan pengangkutan laut strategik dan operasi amfibi, TLDM telah melaksanakan perolehan kapal Multi Role Support Ship (MRSS) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.

Katanya, kapal MRSS berupaya membawa sekurang-kurangnya dua buah helikopter dan bertindak sebagai kapal induk bagi tujuan pelbagai operasi maritim.

Menurut kementerian itu, buat masa ini TLDM mengoperasikan 53 buah kapal terdiri daripada pelbagai kelas bagi memenuhi keperluan operasi serta pelaksanaan rondaan di Zon Maritim Malaysia.

“Ia melibatkan kapal selam, frigat, korvet, kapal ronda, kapal logistik, kapal penangkis periuk api, kapal latihan, kapal layar dan kapal hidrografi.

“Kementerian Pertahanan melalui TLDM sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan mencegah sebarang bentuk ancaman di kawasan perairan negara,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas